AARON-Wooi Yik selangkah lagi untuk muncul juara Seluruh England. FOTO AFP
AARON-Wooi Yik selangkah lagi untuk muncul juara Seluruh England. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya perlu menewaskan gandingan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto untuk bergelar juara Seluruh England buat kali pertama dalam karier mereka malam ini.

Ia selepas Aaron-Wooi Yik mengekalkan momentum kemenangan apabila mengesahkan tempat ke final Seluruh England awal pagi tadi.

Mereka tidak berdepan masalah untuk menundukkan beregu Taiwan apabila hanya memerlukan 36 minit untuk menunjukkan jalan keluar buat Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15 di Utilita Arena, Birmingham dalam aksi separuh akhir.

Kemenangan itu menyaksikan mereka melebarkan rekod kemenangan ke atas pasangan Taiwan itu dalam semua tiga pertemuan sebelum ini. Ia turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengulangi pencapaian terbaik mereka melangkah ke final pada edisi 2019.

Sementara itu Fajar-Rian melangkah ke final selepas menewaskan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan ia dilihat seimbang namun Aaron-Wooi Yik yang berada diranking kelima dunia itu mempunyai kelebihan apabila menang empat dari tujuh pertemuan ke atas Fajar-Rian.

Kali terakhir lawan itu ketika separuh akhir Terbuka India 2023 dalam pertarungan tiga set.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 8:02 AM