SKUAD lelaki negara dijangka menurunkan barisan terbaik untuk berdepan Korea Selatan di separuh akhir esok. FOTO ASWADI ALIAS
SKUAD lelaki negara dijangka menurunkan barisan terbaik untuk berdepan Korea Selatan di separuh akhir esok. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Shah Alam: Malaysia dan Indonesia dijangka akan kembali membuat perhitungan pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 apabila dilihat berpeluang cerah mengatasi lawan masing-masing di separuh akhir esok.

Pada undian separuh akhir sebentar tadi, pasukan lelaki di undi bertemu Korea Selatan dan Indonesia akan berdepan Singapura.

Manakala skuad wanita yang menjadi juara Kumpulan Y akan turun bertemu Korea Selatan yang muncul naib juara Kumpulan Z pada jam 10 pagi manakala Indonesia akan berdepan Jepun.

Berdasarkan prestasi dan penilaian skuad negara tidak berdepan masalah untuk menewaskan Korea Selatan yang menang 5-0 ke atas India dan 4-1 mengatasi Hong Kong namun tewas 2-3 kepada juara kumpulan iaitu Indonesia.

Manakala Malaysia berjaya menang ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk muncul juara Kumpulan B menewaskan Singapura dan Kazakhstan 5-0 serta mengatasi Jepun 3-2.

Malaysia dijangka akan menurunkan skuad terbaik dengan menaruh kepercayaan kepada Lee Zii Jia sebagai perseorangan lelaki pertama diikuti oleh Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao sebagai pemain ketiga.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka akan mengisi slot beregu pertama dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin sebagai beregu kedua negara.

Sekiranya skuad lelaki negara berjaya mara ke final, ia akan mengulangi pertembungan kedua-dua pasukan itu pada edisi 2020 di Filipina yang menyaksikan Indonesia menewaskan Malaysia 3-1 di pentas akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 10:07 PM