JIN Wei mencipta kejayaan apabila menewaskan Asuka dari Jepun 21-19, 16-21, 21-17. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
JIN Wei mencipta kejayaan apabila menewaskan Asuka dari Jepun 21-19, 16-21, 21-17. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kesemua lima wakil negara bermula cemerlang pada aksi pusingan pertama badminton Terbuka Korea apabila mara ke pusingan kedua.

Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong tidak berdepan masalah untuk merangkul kemenangan apabila menewaskan Kalle Koljonen dari Finland 21-13, 21-15.

Menanti Tze Yong pusingan kedua adalah pemain tuan rumah Kim Donghun bagi perebutan tempat ke suku akhir, Khamis ini.

Kejayaan Tze Yong turut diiringi seorang lagi perseorangan lelaki negara Cheam June Wei yang menewaskan pemain India, HS Prannoy 21-17, 21-7 dan akan berdepan Weng Hong Yang dari China.

Dalam aksi yang berlangsung di Suncheon itu juga turut menyaksikan kemunculan semula Goh Jin Wei dari persaraan di pentas antarabangsa.

Juara remaja dunia dua kali itu juga berjaya mencipta kejayaan apabila menewaskan Asuka Takahashi dari Jepun 21-19, 16-21, 21-17 dan bertemu pemain Korea, Lee Se Yeon untuk merebut tempat ke suku akhir.

Dalam saingan beregu lelaki, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mudah mengatasi pasangan India, Bokka Navaneeth-B Reddy Sumeeth 21-14, 21-12 bagi menempah pertemuan dengan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Manakala Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng menewaskan beregu Korea, Hwi Tae Kim-Dae Il Yoon 21-18, 21-13 dan bakal berdepan tugas mencabar apabila dijadual bertemu pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 6:28 PM