JUN HAO galas tugas perseorangan ketiga.
JUN HAO galas tugas perseorangan ketiga.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Malaysia berpeluang cerah untuk muncul juara Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City apabila turun bertemu Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, esok.

Berdasarkan pengalaman, ia nyata memberi kelebihan buat skuad lelaki negara yang akan turun menentang Jepun yang diwakili pemain muda.

Malaysia dijangka tidak berdepan masalah mengatasi pasukan dari negara matahari terbit itu sekiranya dapat memanfaatkan peluang berkenaan.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, pengalaman nyata memihak kepada skuad negara, namun pada masa sama tidak memandang rendah kemampuan Jepun.

"Saya tidak memandang rendah Jepun tapi dari segi pengalaman ia memang memihak kepada kita. Pemain kita mempunyai kelebihan itu. Tapi yang penting untuk kekal fokus baik dalam kedua-dua acara perseorangan ataupun beregu. Jika itu berjaya dilakukan, saya fikir tiada masalah untuk menentang Jepun," katanya.

Malaysia membuka tirai kempen kali ini dengan kejayaan membenam Singapura 5-0 manakala Jepun tidak berdepan masalah menewaskan Kazakhstan juga dengan 5-0.

Skuad lelaki negara yang berjaya menewaskan Jepun 3-0 dalam aksi separuh akhir edisi 2020 di Filipina dijangka menurunkan barisan terkuat bagi berdepan pasukan itu.

Lee Zii Jia dijangka diturunkan sebagai pemain perseorangan pertama dengan Ng Tze Yong diletakkan sebagai perseorangan kedua dan Leong Jun Hao dijangka menggalas tugas perseorangan ketiga.

Bagi acara beregu, cabaran skuad negara pastinya akan diketuai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik manakala Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dijangka turun sebagai beregu kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 6:13 PM