MALAYSIA turut di undi dalam Kumpulan D bersama England dan New Zealand. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
MALAYSIA turut di undi dalam Kumpulan D bersama England dan New Zealand. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan Jepun dilihat bakal menjadi penghalang buat skuad Piala Thomas untuk muncul juara kumpulan apabila di undi dalam kumpulan yang sama pada saingan Piala Thomas/Uber yang akan berlangsung di Bangkok Thailand dari 8 hingga 15 Mei depan.

Pada sesi undian yang berlangsung di Bangkok, Malaysia turut di undi dalam Kumpulan D bersama England dan New Zealand.

Manakala skuad Piala Uber negara di undi dalam Kumpulan C bersama-sama Thailand, Denmark dan Mesir.

Berdasarkan undian berkenaan skuad lelaki negara tidak berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan dan dijangka akan bertemu Jepun untuk perhitungan juara kumpulan.

Pada aksi kali ini skuad negara mensasarkan untuk mara ke peringkat akhir seterusnya menamatkan misi kemarau kejuaraan selama 30 tahun.

Pada penyertaan skuad negara tahun lalu di Aarhus, Denmark, perjalanan pemain negara terhenti di suku akhir apabila tewas kepada Indonesia yang akhirnya muncul juara.

Manakala pencapaian terbaik negara adalah muncul juara pada edisi 1992 di Kuala Lumpur dan muncul naib juara sebanyak empat kali iaitu pada 1994 (Jakarta), 1998 (Hong Kong) , 2002 (Guangzhou) dan 2014 (New Delhi, India).

Sementara itu, Indonesia yang tampil sebagai juara bertahan di undi dalam Kumpulan A bersama Korea Selatan, Thailand dan Singapura manakala saingan Kumpulan B menyaksikan persaingan antara Denmark, China, Perancis dan Algeria.

PIALA THOMAS

Kumpulan A

Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Singapura

Kumpulan B

Denmark, China, Perancis, Algeria

Kumpulan C

Taiwan, India, Jerman, Kanada

Kumpulan D

Jepun, Malaysia, England, New Zealand

PIALA UBER

Kumpulan A

Jepun, Indonesia, Perancis, Jerman

Kumpulan B

China, Taiwan, Sepanyol, Australia

Kumpulan C

Thailand, Denmark, Malaysia, Mesir

Kumpulan D

Korea Selatan, India, Kanada, Amerika Syarikat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:01 PM