LIEK Hou menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Selangor semalam. FOTO Instagram cheahliekhou4956
LIEK Hou menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Selangor semalam. FOTO Instagram cheahliekhou4956
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: "Rasa amat sedih semasa nampak rumah dirosakkan akibat banjir kilat minggu lalu.

"Oleh itu, saya buat sedikit sumbangan makanan kering dan selimut kepada mangsa yang terbabit di Hulu Langat dan Bukit Tadom," menurut pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou.

Liek Hou, 33, meluangkan masa hampir seharian untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat dan Bukit Tadom, Banting, semalam.

Menceritakan pengalaman dan turut dikongsi di Instagram peribadinya, dia yang melihat suasana pasca banjir menganggap ia antara paling buruk dalam tempoh 50 tahun.

"Sepanjang hari dalam perjalanan, saya nampak kebanyakan jalan raya, jambatan, rumah, kedai serta kenderaan rosak teruk. Saya dapat bayangkan kesedihan dan kekecewaan penghuni di situ.

"Semoga sedikit pertolongan dari saya dapat membantu mereka.

"Terima kasih kepada kawan-kawan sekalian yang memberi sumbangan dan pertolongan dari semua aspek. Semoga semua dalam keadaan yang baik dan boleh pulih secepat mungkin," katanya.

Liek Hou meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki kelas SU5 pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 pada 4 September lalu apabila dia menundukkan musuh utama dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 pada aksi final.

Dia juga muncul atlet pertama negara memenangi pingat dalam sukan badminton para selain juara sulung Paralimpik dalam sukan itu yang kali pertama dipertandingkan pada temasya terulung dunia.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu juga merangkul 11 pingat emas Kejohanan Badminton Para Dunia, tujuh daripadanya dalam acara perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 2:15 PM