LIEK Hou muncul juara Kejohanan Antarabangsa Para Badminton Brazil. -FOTO FB BAM
LIEK Hou muncul juara Kejohanan Antarabangsa Para Badminton Brazil. -FOTO FB BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengorbanan pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai Kejohanan Antarabangsa Para Badminton Brazil berbaloi apabila berjaya mempertahankan kejuaraan itu.

Dia membuktikan berada di kelas tersendiri selepas menewaskan pemain Perancis yang juga berada di ranking ketujuh dunia, Meril Loquette 21-17, 21-17 aksi final perseorangan lelaki SU5.

Lebih menggembirakan apabila Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk membayar semula perbelanjaan ditanggungnya bagi menyertai kejohanan di Sao Paulo itu.

Kemenangan itu menyaksikan Liek Hou yang kini berada di ranking kedua dunia melebarkan rekod kemenangan tanpa kalah kepada 41 perlawanan.

Biarpun mempertahan gelaran dengan penuh bergaya, Liek Hou mengakui dia tidak berpuas hati dengan prestasinya.

Ia jelas ketara banyak perbezaan dari segi mutu permainan berbanding apa yang dipamerkan ketika dia memenangi emas di Tokyo, tahun lalu.

"Kali ini saya tidak berpuas hati walaupun menang. Nampak jelas sangat prestasi saya jatuh terlalu banyak dari segi pergerakan dan permainan dalam gelanggang berbanding ketika di Tokyo 2020.

"Mungkin kerana saya berehat terlalu lama iaitu hampir tujuh bulan selain dijangkiti Covid-19, bulan lalu.

"Kemenangan saya kali ini mungkin dibantu pengalaman selama ini," katanya.

Sebagai rekod, kejuaraan itu adalah yang kelapan berturut-turut buat Liek Hou di pentas antarabangsa sejak Oktober 2019.

Sepanjang tempoh itu menyaksikan dia memenangi emas Paralimpik Tokyo 2020, selain badminton para di Denmark dan Jepun (2019); Peru dan Brazil (2020); Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sepanyol, tahun lalu.

Liek Hou berkata, dia memerlukan tiga atau lebih lagi kejohanan untuk kembali mendapat rentak terbaiknya.

"Selepas ini saya ada dua lagi kejohanan di Bahrain dan Dubai pada 13 Mei.

"Tak pastilah boleh perbaiki kelemahan saya itu dengan segera atau tidak untuk kejohanan itu nanti," katanya.

Liek Hou berkata, dia perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan menyertai kejohanan di Brazil bagi mengelak kedudukan ranking nombor dua dunianya jatuh selepas tidak dapat beraksi dalam dua kejohanan di Sepanyol, Mac lalu kerana dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 1:48 PM