Juara badminton Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou.
Juara badminton Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih badminton para kebangsaan, Datuk Rashid Sidek dalam perancangan untuk mencari pemain pelapis yang dapat menggantikan juara badminton Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou.

Rashid berkata, pemain pelapis cukup penting dalam memastikan penguasaan pasukan negara dalam kejohanan badminton paralimpik dapat diteruskan sekiranya Like Hou bersara.

Beliau berkata, ketika ini belum ada pemain yang bersesuaian untuk diketengahkan bakat mereka terutama yang mampu menggalas cabaran ke sukan paralimpik.

"Setakat ini saya tak pasti lagi ada atau tidak penambahan pemain badminton paralimpik namun perancangan ke arah itu memang ada.

"Kita memerlukan pemain lain untuk kategori yang disertai Liek Hou seterusnya dapat meneruskan penguasaan negara pada masa akan datang," katanya.

Liek Hou mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas dalam acara perseorangan lelaki (SU5) di Paralimpik Tokyo 2020 dengan menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15.

Sementara itu, Rashid yang sudah dua tahun melatih pemain perseorangan badminton paralimpik berkata, beliau akan terus menabur bakti membantu melahirkan pemain hebat seperti Liek Hou.

"Saya akan terus berkhidmat membantu melahirkan pemain berkualiti seterusnya mampu mencipta kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 5:25 PM