Ee Wei (kanan) dan Hon Jian akan beraksi di Terbuka Austria. FOTO BAM
Ee Wei (kanan) dan Hon Jian akan beraksi di Terbuka Austria. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara yang berjaya meraih emas dalam aksi Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei mengakui teruja untuk beraksi di Terbuka Austria bermula esok.

Turun tanpa sebarang tekanan kerana bukanlah pemain pilihan membuatkan mereka lebih selesa untuk beri yang terbaik di kejohanan berkenaan.

Kata Ee Wei, dia sangat teruja untuk beraksi kerana dapat menilai tahap prestasi terkini berikutan akan menentang lawan yang lebih kuat berbanding di Slovenia.

"Kami turun bukan sebagai pemain pilihan dan jurulatih Teo Kok Siang ada beritahu bahawa kami perlu fokus satu perlawanan demi satu perlawanan sebab bukan senang untuk bermain di sana.

"Jadi untuk di Austria ini kami tak mahu fikir terlalu jauh dan cuba untuk berikan yang terbaik," katanya.

Mengulas mengenai corak latihan ketika ini, Ee Wei berkata, mereka banyak memberi tumpuan kepada latihan kekuatan selain berjoging untuk mengekalkan tahap kecergasan di dalam gelanggang.

Selain itu latihan pergerakan di dalam gelanggang dan pertahanan juga diberi penekanan oleh jurulatih.

Terdahulu Hon Jian-Ee Wei yang menghuni ranking ke-263 mempamerkan aksi konsisten apabila merangkul kejuaraan kedua di Slovenia tahun ini selepas menewaskan wakil Indonesia, Muh Erwiansyah-Sofy Asharunnisa 21-18, 21-18 dalam aksi yang berlangsung selama 32 minit.

Ia adalah kejuaraan kedua selepas muncul juara Terbuka Poland pada penampilan sulung mereka, Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 11:02 PM