PENG Soon-Ee Wei ketika menentang beregu Indonesia. FOTO YouTube Badminton Lovers
PENG Soon-Ee Wei ketika menentang beregu Indonesia. FOTO YouTube Badminton Lovers
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran berpengalaman Chan Peng Soon kecundang pada pusingan pertama kejohanan Masters Orlean di Perancis awal pagi tadi bersama gandingan baharunya Toh Ee Wei namun dia menegaskan tidak akan berputus asa.

Pemain berusia 33 tahun itu dan Ee Wei tewas dalam tiga set di tangan beregu Indonesia, Zachariah Josiahno Sumanti-Hediana Julimarbela 20-22, 21-18, 18-21 selepas berjuang dalam tempoh 61 minit.

"Apabila turun bermain, ramai orang selalu mempersoalkan anda, adakah anda okay?

"Tapi saya cuma perlu buktikan yang saya okay. Saya tidak akan berputus asa untuk terus mencuba kerana ini adalah sasaran saya," katanya menerusi perkongsian di laman Instagram selepas aksi awal pagi tadi.

"Bagi percubaan yang gagal, sekurang-kurangnya saya sudah mencuba sedaya upaya dan saya percaya sebenarnya saya boleh melakukan yang lebih baik daripada itu.

"Peng Soon bergandingan dengan Valeree Siow pada awal tahun ini dan layak ke suku akhir Terbuka India Januari lalu, kejohanan pertama mereka digandingkan bersama selepas Peng Soon kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia.

Bagaimanapun Peng Soon digandingkan pula dengan Ee Wei selepas Valeree menumpukan gandingannya dalam beregu wanita bersama Low Yeen Yuan, yang mana mereka menang tiga kejuaraan bersama tahun lalu - Antarabangsa Slovenia, Antarabangsa Latvia dan Antarabangsa Hellas di Greece.

Malah Ee Wei juga menang tiga kejuaraan beregu campuran bersama Choong Hon Jian tahun lalu pada Terbuka Poland, Antarabangsa Slovenia dan Terbuka Austria.

Peng Soon dan Goh Liu Ying, yang melakar sejarah apabila meraih pingat perak beregu campuran pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016, berpisah hujung tahun lalu selepas 13 tahun bergandingan dalam acara itu.

Menariknya, Peng Soon-Ee Wei akan bertemu Liu Ying dan pasangan baharunya Ong Yew Sin pada pusingan pertama Masters Korea di Gwangju dari 12 hingga 17 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 8:37 PM