Gandingan Aaron (kanan) dan Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa. FOTO Ihsan BAM
Gandingan Aaron (kanan) dan Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa. FOTO Ihsan BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Aaron Chia menafikan bahawa dia serta gandingannya, Soh Wooi Yik tidak bersungguh-sungguh untuk memenangi aksi separuh akhir Terbuka Switzerland semalam sekali gus berpeluang untuk mara ke pentas final.

Sebaliknya jelas Aaron, dia serta Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan sebenarnya sudah melakukan yang terbaik.

Namun katanya, rentak permainan mereka terganggu kerana sering menerima hukuman melakukan kesalahan servis daripada pengadil servis.

"Sebenarnya kami sudah memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu. Cuma kami tidak berpuas hati terlalu banyak kesalahan servis yang dikenakan oleh pengadil servis.

"Kami akan terus beri fokus kepada saingan seterusnya, kemungkinan di Terbuka India," katanya.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa.

Pencapaian terbaik mereka adalah enam kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Bagaimanapun, pasangan itu berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2019 di Filipina.

Aaron-Wooi Yik tidak akan menyertai saingan Seluruh England yang dijadual berlangsung di Birmingham pada 17 hingga 21 Mac ini kerana ia tidak menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 10:22 PM