AARON (kanan) dan Wooi Yik gagal mempamerkan prestasi diharapkan kebelakangan ini. FOTO BADMINTON PHOTO
AARON (kanan) dan Wooi Yik gagal mempamerkan prestasi diharapkan kebelakangan ini. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik belum mengetahui sama ada mereka berada dalam senarai projek Road To Gold (RTG) menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, bermula Mei ini.

Menurut Aaron, dia dan Wooi Yik berharap disenaraikan dalam projek itu bagi membantu mereka mengimbangi prestasi yang dilihat kurang memuaskan dalam kejohanan dilalui baru-baru ini.

"Sebelum ini memang ada bincang dengan Michael (Datuk Michael Tang) untuk kami berada dalam projek RTG ini.

"Tetapi senarai nama kami belum tahu, kami akan tanya lagi untuk memastikan bagaimana keseluruhan program, itu juga perlu jelas," katanya.

Ujar Aaron, dia merasakan projek itu memang sudah perlu bermula, termasuk dari segi waktu latihan dan servis sokongan untuk menyokong mereka.

"Akan ada jurulatih membimbing kami dari semasa ke semasa. Dari segi fizikal ada jurulatih kecergasan yang jaga kami melihat apa yang kurang," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bulan lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pembentukan pasukan projek RTG yang dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha memburu emas sulung di Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, senarai nama atlet bakal berada dalam program terbabit masih belum diumumkan dan dua ciri ditetapkan jawatankuasa RTG iaitu atlet yang sudah memenangi pingat pada Sukan Olimpik dan pemain negara berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai prestasi gandingan juara dunia itu, Aaron berkata, dia dan Wooi Yik sedang berbincang bersama jurulatih untuk mencari titik kelemahan yang menjadi punca mereka gagal konsisten dalam setiap perlawanan.

"Saya rasa untuk sekarang, kami boleh tengok dalam lima kategori mungkin beregu lelaki yang paling kompetitif, ini bukan cakap pasangan tertentu tak konsisten, yang juara pun boleh kalah pada kejohanan akan datang.

"Tapi sebagai pasangan terbaik kami tidak boleh jadikan perkara itu sebagai alasan.

"Kami hanya perlu tahu apa yang perlu buat dan dapatkan kunci kejayaan untuk menang kejohanan, bagi saya bukan semua kejohanan boleh menang kerana kami bukan robot," katanya.

Aaron berkata, setakat ini dia dan pasangannya sedang memberi tumpuan untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Asia yang bakal berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 25-30 April ini.

Pada Kejohanan Badminton Seluruh England, pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina 2019 itu tersingkir seawal pusingan pertama selepas ditewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 18-21,21-14,13-21.

Aaron-Wooi Yik gagal mara ke suku akhir Terbuka Switzerland, bulan lalu apabila dibenam gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-17,16-21,17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 3:00 PM