Penyerang Negeri Sembilan, Igor Luiz (jersi kuning) cuba menanduk bola pada aksi berdepan TFC II. FOTO Bernama
Penyerang Negeri Sembilan, Igor Luiz (jersi kuning) cuba menanduk bola pada aksi berdepan TFC II. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Negeri Sembilan (NS) berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Terengganu FC II (TFC II), 1-0, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan, rekod tanpa kalah yang dimiliki TFC II lebur, namun pelawat masih kekal mendominasi puncak carta.

TFC II dilihat menguasai sebahagian besar separuh masa pertama dengan bahagian tengah pasukan pelawat itu lebih berfungsi menerusi beberapa hantaran berkualiti ke bahagian serangan.

Namun begitu, skuad Hobin Jang Hobin yang sesekali melancarkan serangan kilat ke kawasan gol pelawat terutama menerusi gandingan Jose Amir Neto dan Igor Luiz, turut mendapat beberapa peluang, namun mereka gagal menembusi benteng yang dikawal kemas, Mohd Suhaimi Husin.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mendapatkan gol yang dicari.

Negeri Sembilan yang amat mengharapkan kemenangan bagi mengubah kedudukan dalam kelompok terbawah carta liga, cuba bertindak lebih agresif sebaik bersambung babak kedua dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu pelawat.

Anak buah Sazali Saidun yang dilihat mendominasi babak kedua itu, bagaimanapun terpaksa menunggu pada masa akhir permainan untuk mendapatkan gol yang dicari menerusi jaringan pemain gantian Izaaq Izhan Yuswardi pada minit ke-90.

Kemenangan itu membolehkan Negeri Sembilan berjaya mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 11:42 PM