IGOR (dua, kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya Jose Almir Neto pada perlawanan Liga Perdana 2020 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini. FOTO Bernama
IGOR (dua, kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya Jose Almir Neto pada perlawanan Liga Perdana 2020 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan bangkit daripada kekecewaan apabila mendapat rentak terbaik dengan menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC 2-0, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.

Mereka turun dengan misi memburu kemenangan sulung bagi meneruskan saingan selain mengelak tekanan berterusan daripada penyokong yang dilihat kecewa selepas pasukan itu tewas dalam dua perlawanan terdahulu.

Skuad bimbingan Sazali Saidun terus mengatur gerak mencari gol sebaik perlawanan dimulakan menerusi gerakan menarik oleh jentera serangan yang diterajui gandingan penyerang dari Brazil, Igor Luiz dan Jose Amir Neto.

Bagaimanapun UKM yang hadir berbekalkan kemenangan pertama dicapai ke atas Kuching FA, bertindak pantas mengawal keadaan dengan barisan pertahanan gandingan L Kalaiharasan, K Reuben, Mohd Rafizi Hamdan dan Syafiq Azri Ahmad Kamal, berusaha menyekat setiap pergerakan serangan tuan rumah.

Beberapa percubaan ke arah pintu gol lawan oleh Igor dan Amir Neto, selepas itu tidak menepati sasaran dan berjaya diselamatkan penjaga gol UKM, Mohd Remezey Che Ros.

Bagaimanapun, usaha skuad Hobin Jang Hobin mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila Igor bijak menyambar bola hantaran lintang Shunsuke Nakatake dari sebelah kanan yang melepasi pertahanan lawan dengan menanduk masuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-24.

Jaringan itu jelas menyuntik semangat skuad Rusa dan mereka dilihat terus menggandakan asakan ke kubu pelawat, namun usaha menambah jaringan gol tidak menjadi sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling membalas serangan dan Negeri Sembilan berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan kedua yang disempurnakan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-60.

Nur Shamie mudah menolak masuk bola sepakan dari luar kotak penalti oleh Igor Luiz, yang terkena tiang.

Usaha anak buah Sulaiman Hussin untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila penyerang mereka, Lee Seong Woo, Muhd Baqiuddin Shamsudin, Amadaiya Renne dan Mohd Hafizi Amiruddin, gagal menembusi gawang gol tuan rumah yang dikawal kemas Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Kedudukan 2-0 yang memihak kepada Negeri Sembilan itu kekal sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 11:53 PM