PEMAIN NSFC, Matheus Alves (kiri) mengawal bola daripada permain KL City FC, Declan Lambert pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN NSFC, Matheus Alves (kiri) mengawal bola daripada permain KL City FC, Declan Lambert pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengekalkan rentak kemenangan apabila membenam Kuala Lumpur (KL) City FC, 2-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu meletakkan Negeri Sembilan melonjak ke tangga ketiga carta liga dengan mengumpul 11 mata.

Kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan aksi agresif sebaik perlawanan dimulakan dengan saling melakukan serangan ke kubu lawan masing-masing.

KL City yang menurunkan gandingan Romel Morales Ramirez, Kevin Xavier Koubemba dan J Partiban di barisan depan dilihat bertindak agresif dengan beberapa percubaan merbahaya ke arah gawang tuan rumah.

Menerusi serangan balas pantas, skuad Hobin Jang Hobin yang mempertaruhkan Matheus Alves Leandro dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak bagi mengemudi jentera serangan hampir berjaya membuka tirai jaringan namun sepakan pemain pertahanan Che Rashid Che Halim dari luar kotak penalti pada minit ke-17, ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Kevin Mendoza Hansen.

Negeri Sembilan sekali lagi mendapat peluang terbaik pada minit ke-34 menerusi serangan dari sebelah kiri, bagaimanapun bola hantaran lintang dalam kawasan gol gagal ditampan kemas Matheus Alves.

Percubaan Mohamad Izzuddin Roslan dari luar kotak penalti pada minit ke-40 juga gagal apabila bola sepakannya sekadar melepasi palang.

Bagaimanapun Negeri Sembilan akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila Herold Goulon menjaringkan gol pertama tuan rumah menerusi tandukan hasil sepakan sudut yang diambil Ahmad Khuzaimi Piee, seminit selepas babak kedua bermula.

Ketinggalan 0-1 membuatkan anak buah Bojan Hodak menggandakan usaha bagi mendapatkan gol penyamaan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Muhamad Irfan Zakaria pada minit ke-73.

Bagaimanapun kedudukan 1-1 itu tidak bertahan lama apabila Goulon sekali lagi meletakkan Negeri Sembilan di depan menerusi gol keduanya pada minit ke-75.

Usaha KL City untuk merapatkan jurang dan meraih sekurang-kurang satu mata tidak kesampaian apabila kedudukan 2-1 yang menyebelahi Negeri Sembilan kekal sehingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 12:15 AM