PEMAIN Negeri, Alain Thierry Akono (kiri) diasak pemain Sarawak United FC, Khair Muhammad Jefri Jones pada perlawanan Liga Perdana. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PEMAIN Negeri, Alain Thierry Akono (kiri) diasak pemain Sarawak United FC, Khair Muhammad Jefri Jones pada perlawanan Liga Perdana. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengukuhkan cengkaman di puncak carta Liga Perdana walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri dengan Sarawak, 1-1, dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Selepas menamatkan sembilan perlawanan, Negeri Sembilan mengumpul 18 mata manakala Sarawak mengumpul 17 mata di tempat kedua carta.

Negeri Sembilan terlebih dulu dikejutkan dengan gol awal pada minit pertama permainan menerusi jaringan dilakukan pemain tengah, Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra yang menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Damien Chein Khai Lim.

Jaringan itu terhasil menerusi gerakan pantas bahagian serangan Sarawak sebaik perlawanan dimulakan yang sekali gus meletakan pasukan pelawat di depan 1-0.

Jaringan itu juga jelas dilihat memberi tekanan lebih awal buat skuad Hobin Jang Hobin yang turun dengan misi mahu mengekalkan kemenangan di laman sendiri.

Usaha mendapatkan gol penyamaan itu terus dilakukan barisan depan Negeri Sembilan dan pada minit ke-26 percubaan leret Nasrullah Hanif Johan dari luar kotak penalti dapat ditepis penjaga gol Sarawak, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Anak buah K Devan mensia-siakan peluang apabila bola lorongan Beom Geun Bae dari bahagian tepi di hadapan pintu gol gagal ditampan kemas R Barathkumar pada minit ke-36.

Malah, usaha kapten Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak yang melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol Sarawak pada tempoh akhir babak pertama juga tidak membuahkan hasil.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat cuba memperkemaskan jentera serangan dalam usaha mendapatkan gol penyamaan.

Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Alain Thierry Akono menceriakan 1,444 orang penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol pertama menerusi sepakan padu bola mati dari luar kotak penalti pada minit ke-61, untuk mengikat kedudukan 1-1.

Jaringan penyamaan itu meningkatkan semangat dan motivasi pemain Negeri Sembilan, apabila terus bekerja keras memburu kemenangan.

Begitu juga dengan anak buah E Elavarasan yang mengharapkan mampu meraih kemenangan di laman lawan dan beliau bertindak memasukkan pemain kebangsaan, Norsahrul Idlan Talaha pada 10 minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun usaha kedua- dua pasukan untuk menambah gol tidak kesampaian apabila kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 12:18 AM