SAINGAN suku akhir hingga final Liga Juara-Juara akan berlangsung di Lisbon, Portugal. FOTO Agensi
SAINGAN suku akhir hingga final Liga Juara-Juara akan berlangsung di Lisbon, Portugal. FOTO Agensi
AFP

SELEPAS tertangguh hampir lima bulan, Liga Juara-Juara dan Liga Europa kembali bersambung minggu ini untuk menyelesaikan baki perlawanan tatkala saingan musim ini dihimpit dengan pandemik Covid-19.

Kedua-dua kejohanan itu terpaksa ditangguhkan Mac lalu selepas Covid-19 mula menular di Eropah dan ketika badan bola sepak benua itu mengambil pendekatan untuk memindahkan saingan Euro 2020 ke tahun depan, status Liga Juara-Juara dan Liga Europa masih lagi belum jelas.

Akhirnya, jalan penyelesaian ialah dengan mengadakan dua kejohanan mini dengan mengumpul semua pasukan dalam satu tempat yang sama bermula dari saingan suku akhir sehingga ke penghujung dan semua aksi diadakan tanpa penonton.

Liga Juara-Juara akan berlangsung di Lisbon dengan aksi lapan terakhir bermula 12 Ogos dan perlawanan akhir diadakan di Stadium Da Luz Benfica pada 23 Ogos.

Saingan Liga Europa pula akan berlangsung di Jerman, dengan aksi lapan terakhir bermula 10 Ogis dan perlawanan akhir di Cologne pada 21 Ogos.

"Saya percaya dengan kelancaran kejohanan ini sejak dari awal. Anda harus sentiasa optimistik dan jika berlaku krisis seperti ini anda harus mempunyai perancangan.

"Buat masa sekarang kita akan melangsungkan perlawanan tanpa penonton sehingga ia diberitahu kelak. Kami tidak mahu ambil sebarang risiko," kata Presiden Kesatuan Bolasepak Eriopah (UEFA), Aleksander Ceferin

Sementara itu, pusingan kelayakan Liga Juara-Juara musim depan akan bermula Sabtu ini, hari yang sama Bayern Munich melayan kunjungan Chelsea dan Napoli bertandang ke Barcelona dalam aksi 16 terakhir.

Sebelum itu, Manchester City akan mempertahankan kelebihan mendahului 2-1 pada pusingan pertama di gelanggang sendiri apabila berdepan Real Madrid Jumaat ini.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu mensasarkan cuba untuk meraih kejayaan Liga Juara-Juara selepas mereka terlepas hukuman penggantungan selama dua tahun.

Pemenang perlawanan itu akan berdepan Juventus atau Lyon di suku akhir di Lisbon.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 1:07 PM