SOLSKJAER lebih senang jika saingan kalah mati Liga Europa dijalankan format satu perlawana saja. FOTO AFP
SOLSKJAER lebih senang jika saingan kalah mati Liga Europa dijalankan format satu perlawana saja. FOTO AFP
AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer berkata, beliau akan gembira jika saingan Eropah ditukar kepada satu perlawanan sahaja berbanding dua pusingan ketika mereka masih dihantui dengan pandemik Covid-19.

Selepas tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan, Manchester United bakal memulakan aksi di Liga Europa dengan berdepan Real Sociedad Jumaat depan.

Old Trafford akan menjadi tuan rumah aksi kedua pusingan kalah mati namun perlawanan pertama akan dilangsungkan di Turin bukannya di San Sebastian berikutan sekatan masuk yang dikenakan Sepanyol.

Chelsea, Manchester City dan Liverpool akan beraksi di perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di stadium berkecuali, manakala kedua-dua perlawanan membabitkan Arsenal dan Benfica di Liga Europa akan dipindahkan.

"Bagi saingan peringkat Eropah, itulah yang kami harapkan, biarlah ia dikekalkan. Setiap kerajaan berbeza, pergerakan di Eropah sekarang ini sangat sukar. Ia bukan keputusan yang dibuat oleh kami.

"Tapi apabila ada satu perlawanan di gelanggang neutral ia bukan satu kelebihan, terutama buat pasukan yang tidak berpeluang beraksi di tempat sendiri.

"Bagaimanapun, ia di luar bidang kuasa kami. Tidak ada apa yang boleh kami katakan, lebih baik hanya beraksi di Turin dan bermain satu perlawanan. Kami tidak kisah, walaupun kurang satu perlawanan," kata Solskjaer.

Selepas penangguhan saingan bola sepak Mac lalu disebabkan Covid-19, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) melengkapkan saingan Liga Juara-Juara dengan hanya mengadakan satu perlawanan saja di Lisbon bermula dengan aksi suku akhir dan seterusnya.

Jerman pula menjadi tuan rumah untuk aksi Liga Europa menggunakan format sama, dengan menyaksikan Manchester United tersingkir di separuh akhir selepas kalah kepada juara, Sevilla di Cologne.

"Itu yang kita lakukan musim lalu. Kita bertemu di tempat berkecuali dan menjalankan format kejohanan.

"Sekarang kami memiliki sedikit kelebihan. Ia bukan satu kelebihan buat Sociedad kerana mereka akan menjadi tuan rumah di Turin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 8:44 AM