JESUS makin serasi dengan taktikal Pep Guardiola. FOTO/AGENSI
JESUS makin serasi dengan taktikal Pep Guardiola. FOTO/AGENSI
Reuters

MANCHESTER, England: Gabriel Jesus meledak hatrik termasuk dua penalti bagi membantu Manchester City menghampiri slot ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dengan membelasah Shakhtar Donetsk 6-0 di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan City dilihat sebagai pilihan untuk mara ke pusingan 16 terbaik sebagai juara Kumpulan F selepas mengumpul sembilan mata, tiga mata di depan penghuni tangga kedua, Olympique Lyon yang sekadar seri 2-2 dengan Hoffenheim.

Kelab Jerman itu berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata manakala Shakhtar di tangga tercorot dengan sekadar dua mata.

City boleh mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati sekiranya menang atau seri menentang Lyon hujung bulan ini.

“Malangnya kami masih belum layak, tapi semakin menghampirinya dan akan cuba untuk mengekalkan tahap sebegini. Mungkin ia akan membantu kami untuk kekal fokus,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

Anak buah Guardiola ketika ini dianggap pemusnah kepada semua lawannya apabila sudah merekod 19 gol dalam empat perlawanan terakhir bagi semua pertandingan.

Biarpun penyerang Argentina, Sergio Aguero sekadar memanaskan bangku simpanan dan pemain tengah, Kevin de Bruyne mengalami kecederaan, City nyata terlalu kuat buat Shakhtar.

Riyad Mahrez mencipta gol pertama pada minit ke-13, mengelirukan pertahanan Shakhtar sebelum hantaran leretnya ditampan masuk kapten David Silva.

Jesus meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Raheem Sterling jatuh dalam kotak penalti - penalti yang mencetuskan kontroversi biarpun tiada kekasaran ke atas Sterling tetapi pengadil, Viktor Kassai gagal mengesannya dan menghadiahkan penalti.

Kedua-dua pengurus pasukan mengakui pengadil membuat keputusan yang silap dengan bos Shakhtar, Paulo Fonseca menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Sterling berkata, dia sudah memohon maaf kepada pengadil susulan kontroversi itu.

Pemain sayap England itu kemudiannya meledak gol ketiga pada minit ke-48 sebelum Jesus sekali menyempurnakan penalti yang diperoleh pada minit ke-72 manakala Mahrez menggandakan kedudukan pada minit ke-84.

Jesus melengkapkan hatriknya apabila meledak gol keenam buat City pada minit kedua masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:12 PM