STERLING melakukan  tiga umpanan gol untuk pasukannya yang mendahului 3-0 dalam tempoh 18 minit permainan. FOTO/AFP
STERLING melakukan tiga umpanan gol untuk pasukannya yang mendahului 3-0 dalam tempoh 18 minit permainan. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Pengendali Manchester City Pep Guardiola menegaskan masih ada ruang buat Raheem Sterling meningkatkan prestasinya selepas persembahan cemerlang penyerang itu ketika kemenangan 6-1 ke atas Southampton yang mengembalikan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu ke puncak liga.

City kekal di landasan terbaik untuk memperbaiki pencapaian rekod gol terbanyak pada 106 gol musim lalu selepas kemenangan yang menyaksikan mereka mengumpul perbezaan 29 gol hanya selepas 11 perlawanan musim ini.

Sterling dipilih untuk menyertai barisan penyerang City pada aksi di Stadium Etihad itu, dan dia membalas kepercayaan Guardiola dengan meledak dua gol dan melakukan tiga umpanan gol untuk pasukannya yang mendahului 3-0 dalam tempoh 18 minit permainan.

"Dia pemain hebat tetapi dia masih muda untuk dianggap terbaik dunia,” kata Guardiola. “Dia berada pada prestasi menakjubkan, dia tajam, pantas, pintar, semangat juang tinggi, pantas membuat keputusan, boleh bermain di kedua-dua sisi dan juga tengah, serta agresif.”

GUARDIOLA jamin pertajam prestasi Sterling. FOTO/AFP
GUARDIOLA jamin pertajam prestasi Sterling. FOTO/AFP

Dengan persembahan itu Sterling kini terbabit dalam 40 gol liga – menjaringkan 24 gol dan melakukan 16 umpanan gol  sejak permulaan musim lalu, dan semalam adalah aksi individu yang tepat buat penyerang 23 tahun England itu selepas mempersetujui kontrak baharu selama tahun minggu ini.

Wesley Hoedt tertampan hantaran Sane ke gawang sendiri pada minit keenam sebelum Sterling mengumpan bola kepada Sergio Aguero untuk gol Liga Perdana Inggeris ke-150 kariernya meletakkan penyerang Argentina itu di tangga kelapan senarai penjaring divisyen berkenaan sepanjang zaman bersama Michael Owen.

Sterling kemudian membuat hantaran untuk gol ketiga menerusi David Silva. Southampton merapatkan jurang menerusi penalti Danny Ings yang dikasari Ederson tetapi Sterling menambah jaringan buat City dalam masa kecederaan babak pertama.

Aguero membantu jaringan Sterling pada minit ke-66 dan Sane melengkapkan kemenangan di saat-saat akhir hasil hantaran Sterling.

Sepanjang musim 2016/17, musim pertama Guardiola bersama City, Sterling hanya menjaringkan tujuh gol liga.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 8:25 AM