JASAZRIN berharap pemain ‘junior’ The Fighters mengikut segala arahan yang diberikan. FOTO Ihsan FELDA United FC
JASAZRIN berharap pemain ‘junior’ The Fighters mengikut segala arahan yang diberikan. FOTO Ihsan FELDA United FC
Asrol Awang


KAPTEN FELDA United FC, Jasazrin Jamaluddin mengakui tidak bimbang prestasi pemain senior kelab itu berbanding tonggak muda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemain tengah itu berkata, ini kerana pemain senior lebih memahami tanggungjawab ketika tonggak muda The Fighters musim ini ada yang kali pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Oleh itu, saya harap pemain ‘junior’ The Fighters mengikut segala arahan yang diberikan jurulatih kecergasan untuk memastikan mereka berada pada tahap terbaik sebaik liga bersambung nanti.

“Setakat ini, segalanya berjalan lancar hasil pemantauan ketua jurulatih (Mohd Nidzam Jamil), jurulatih kecergasan dan saya sendiri selaku kapten.

“Segala tips yang diberikan seharusnya diikuti demi mempertingkatkan stamina dan sebagai pemain profesional latihan perlu dilakukan walaupun berada di rumah,” katanya.

Mengulas rutin harian latihan yang dilakukan sejak PKP pada 18 Mac lalu, Jasazrin mengikut segala program yang diberikan pengurusan kelab itu.

Setakat ini, dia memperuntukan latihan yang dilakukan di rumah antara 45 minit hingga satu jam sehari.

“Kebiasannya saya berlatih pada waktu pagi dan setakat ini bersyukur kerana berada dalam keadaan kesihatan yang baik bersama keluarga.

“Oleh itu, saya harap rakan sepasukan bukan sahaja fokus pada latihan, malah faktor kesihatan juga perlu diberi keutamaan iaitu mematuhi arahan kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya duduk di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 3:13 PM