HADIN perkuat cabaran The Fighters hadapi Pahang.
HADIN perkuat cabaran The Fighters hadapi Pahang.
Asrol Awang

PENGENDALI FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil mengharapkan semua pemain utamanya dapat disenaraikan apabila bertemu Pahang, Sabtu ini. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beberapa tonggak yang dihimpit kecederaan sebelum ini kembali pulih untuk membantu memantapkan The Fighters. 

"Setakat ini, Hadin Azman yang juga kapten pasukan sudah pulih daripada kecederaan. Penyerang import, Khairul Amri Kamal juga sudah kembali pulih. 

"Jasazrin (Jamaluddin) yang sebelum ini cedera juga sudah mula turun menjalani latihan dengan rakan sepasukan lain dan dijangka boleh beraksi.

"Cuma, Daniel Amier (Norhisham) yang masih menjalani tempoh pemulihan," katanya.

Beliau berkata, pada perlawanan berdepan Terengganu FC (TFC) Sabtu lalu, Hadin beraksi selama 40 minit dan beliau berpuas hati dengan prestasinya. 

"Walaupun baru pulih, dia mempamerkan prestasi terbaik dan percaya akan membantu pasukan apabila bertemu Pahang nanti," katanya. 

Ketika ini, The Fighters terdesak mengutip mata untuk memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga. 

Dengan berbaki lapan perlawanan, Mohd Nidzam tidak boleh terlepas sebarang mata ketika pasukan lain turut berusaha memperbaiki kedudukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 4:25 PM