PEMAIN Felda United menjalani latihan di padang Institut Semarak Felda, Bangi. FOTO FB Felda United FC
PEMAIN Felda United menjalani latihan di padang Institut Semarak Felda, Bangi. FOTO FB Felda United FC
Asrol Awang


PEMAIN Felda United FC teruja apabila kali pertama menjalani latihan bersama hari ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

Kapten The Fighters, Jasazrin Jamaluddin berkata, tempoh lebih tiga bulan ternyata memberi kesan terhadap komitmen semua pemain, terutama daripada segi kecergasan dan persefahaman.

"Sebagai pemain yang sudah lama tidak menjalani latihan bersama, sudah pasti ia memerlukan tempoh masa untuk kembali membentuk persefahaman antara kami. Boleh dikatakan kami baru bersama seperti persiapan yang dilakukan pada awal musim untuk mengembalikan prestasi pada tahap terbaik.

"Sebolehnya kami mahu berada pada tahap terbaik seperti sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan pada dua perlawanan terakhir Liga Super.

"Ketika itu, The Fighters berjaya mengutip empat mata dalam dua perlawanan iaitu menang ke atas Melaka United 3-2 dan seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Ditanya sesi latihan pertama yang dilakukan, Jasazrin berkata, jurulatih, Mohd Nidzam Jamil lebih memberi penekanan kepada latihan ringan.

Katanya, tiga sesi latihan diadakan iaitu membabitkan 10 pemain setiap sesi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami tiada masalah untuk mengikuti sesi latihan diberikan kerana mahu memberikan yang terbaik buat pasukan sebaik saingan Liga M bermula nanti.

"Diharapkan semua pemain terutama pemain muda dapat meningkatkan prestasi selepas tiga bulan tidak bersama," katanya.

Sebelum saingan liga ditangguhkan, Felda United mengutip lima mata dan menduduki tangga keenam Liga Super selepas mengharungi empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 3:06 PM