ZII Jia berjaya menewaskan Jonatan pada pusingan pertama Seluruh England, hari ini. FOTO NSTP
ZII Jia berjaya menewaskan Jonatan pada pusingan pertama Seluruh England, hari ini. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


DENDAM berbalas, itulah yang terungkap di bibir perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas melepasi pusingan pertama Seluruh England menumpaskan Jonatan Christie hari ini.

Zii Jia ternyata gembira dengan kemenangan straight set 21-15, 21-13 di Arena Birmingham sekali gus menebus kekalahannya dua kali berturut-turut tahun lalu di Terbuka Singapura dan Switzerland.

“Saya gembira akhirnya dapat balas dendam. Ini kali kelima kami bertemu dan berjaya mengalahkannya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya, selepas ini dia akan berdepan wakil China, Lu Guang Zhu di pusingan kedua dan berharap kemenangan ke atas pemain nombor enam dunia itu meningkatkan semangatnya.

“Saya pernah menentang Guang Zhu sebelum ini dan saya harap mampu membuat persediaan rapi untuk berdepan dengannya,” kata Zii Jia yang ketika ini menduduki ranking ke-13 dunia.

Sementara itu ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui permainan anak buahnya itu sangat meyakinkan.

“Mungkin disebabkan dia sudah beberapa kali berdepan Jonatan sama seperti dia mengalahkan Anders Antonsen (Denmark) sebelum ini,” kata pengendali kelahiran Indonesia itu.

Bagaimanapun, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal mengikut jejak langkah Zii Jia apabila terkandas di pusingan pertama.

Beregu campuran negara itu kalah kepada pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Che Yujung 12-21,13-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 8:57 PM