BUKIT JALIL 17 JANUARI 2019. Pemain negara, Lee Zii Jia beraksi ketika menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto menerusi Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
BUKIT JALIL 17 JANUARI 2019. Pemain negara, Lee Zii Jia beraksi ketika menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto menerusi Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Saiful Affendy Sapran


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia enggan terlalu ambil pusing dengan rekod pertemuan yang tidak memihak kepadanya menjelang pertembungan dengan jaguh Indonesia, Jonatan Christie pada pusingan pertama Terbuka Switzerland hari ini.

Sebaliknya bagi perseorangan utama negara itu, dia hanya mahu memberi tumpuan kepada rentak permainannya dalam usaha untuk melangkah lebih jauh di kejohanan itu.

“Saya tak mahu terlalu memikirkan mengenainya. Saya akan menunjukkan reaksi seperti biasa dan cuba beraksi pada tahap terbaik.

“Saya percaya keputusan positif akan memihak kepada saya sekiranya terus berusaha,” katanya.

Zii Jia pernah berdepan Jonatan sebanyak dua kali dengan kedua-duanya memihak kepada jaguh Indonesia itu.

Pertemuan kali pertama adalah di saingan Masters Malaysia awal tahun lalu, disusuli Piala Thomas di Bangkok, Thailand.

Namun, Zii Jia memberikan tentangan sengit dalam kedua-dua pertemuan itu apabila mengheret perlawanan sehingga ke set penentuan.

Zii Jia berkata, fokus utamanya ketika ini adalah di saingan Terbuka Malaysia dari 2 hingga 7 April depan.

“Ia adalah kejohanan yang akan saya sertai selepas ini dan sudah tentu akan menjadi fokus utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:30 AM