ZII Jia terpaksa akur dengan kehebatan Axelsen dalam perlawanan separuh akhir Seluruh England di Arena Birmingham semalam. FOTO REUTERS
ZII Jia terpaksa akur dengan kehebatan Axelsen dalam perlawanan separuh akhir Seluruh England di Arena Birmingham semalam. FOTO REUTERS
Ferzalfie Fauzi


KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui anak buahnya, Lee Zii Jia sudah memberikan aksi terbaik di separuh akhir Seluruh England walaupun tumbang di tangan Viktor Axelsen dari Denmark.

“Saya lihat Zii Jia sudah cuba yang terbaik. Mata terakhir ketika dia dipersalahkan itu, sukar untuk kita jelaskan.

“Apa yang penting dia tetap berfikiran positif. Ada peningkatan dan kita akan mempersiapkan dia lagi menjadi lebih baik pada masa akan datang,” kata pengendali kelahiran Indonesia itu ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau mengakui bahawa perjalanan Zii Jia masih panjang dan setakat ini berada di landasan tepat.

Pemain nombor 13 dunia itu terpaksa akur dengan pengalaman dan kemampuan Axelsen walaupun berjaya bermula dengan cemerlang di set pertama.

Beberapa kesilapan di saat genting menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu meninggalkan Arena Birmingham dengan kekalahan 17-21, 21-13, 21-19.

Kekalahan itu menyaksikan Zii Jia ketinggalan 1-2 bagi rekod pertemuan mereka tatkala sebelum ini kedua-duanya terikat 1-1.

Mara ke separuh akhir Seluruh England, mengulangi pencapaian Zii Jia awal musim ini ketika di Masters Malaysia sebelum dia disingkirkan Kento Momota di Arena Axiata.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 itu sepatutnya beraksi di Terbuka Jerman terlebih dulu namun kejohanan berkenaan terpaksa dibatalkan akibat penularan wabak Convid-19.

Dia juga sepatutnya berdepan Jonatan Christie dari Indonesia di pusingan pertama Terbuka Malaysia hujung bulan ini, namun kejohanan bertaraf World Tour Super 750 itu juga terpaksa ditangguh akibat wabak berkenaan.

Tahun lalu Malaysia mempunyai wakil di perlawanan akhir, apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar kejutan sebelum tumpas kepada Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.

Kali terakhir perseorangan lelaki negara mara ke perlawanan akhir dan muncul juara ialah melalui Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Chong Wei yang sebelum itu sudah meraih tiga kejuaraan Seluruh England pada 2010, 2011 dan 2014 berjaya mengalahkan Shi Yuqi 21-12, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 12:28 AM