ZII Jia meraikan kejayaannya menewaskan pemain China, Lu Guang Zu pada pusingan pertama Masters Malaysia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
ZII Jia meraikan kejayaannya menewaskan pemain China, Lu Guang Zu pada pusingan pertama Masters Malaysia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketika satu demi satu wakil negara tumbang di Masters Malaysia 2023 hari ini, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia muncul sebagai penyelamat dengan menang pusingan pertama mengalahkan Lu Guang Zu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan berjaya mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-19 untuk mara ke pusingan kedua berdepan wakil Taiwan, Lin Chun Yi.

Chun Yi sebelum itu berjaya melakar kejutan dengan mengalahkan penyandang juara dari Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo 13-21, 21-16, 21-8

"Ia adalah permulaan yang mudah untuk set pertama, apabila set kedua barulah dia (Guang Zu) mendapat rentak dan memberi sedikit kesukaran. Saya hanya kekal tenang seperti biasa dan strategi itu menjadi," katanya yang sekarang ini menduduki ranking ke-10 dunia.

Ujar Zii Jia, kemenangan itu juga mempunyai kaitan dengan aksi konsisten sejak Piala Sudirman di Suzhou, China.

"Kali ini saya bermula dengan baik sekali lagi. Keyakinan itu tetap ada, itulah sebab saya beraksi cemerlang dan harap dapat kekalkannya," katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terkandas di pusingan pertama apabila dia kalah 21-17, 16-21, 13-21 kepada Kenta Nishimoto dari Jepun.

Sementara itu beregu lelaki profesional, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong turut tersingkir selepas kalah 23-21, 14-21, 16-21 kepada Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland.

Selain Zii Jia turut beraksi di pusingan kedua esok ialah beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 10:30 PM