AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal mara ke suku akhir Masters China apabila tewas kepada beregu tuan rumah, malam ini. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal mara ke suku akhir Masters China apabila tewas kepada beregu tuan rumah, malam ini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bagaikan kesan domino, satu demi satu wakil negara tumbang di Masters China ketika berdepan dengan wakil tuan rumah di pusingan kedua sebentar tadi.

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tumpas di set pertama cuba bangkit ketika berdepan, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, namun terpaksa akur dengan kekalahan 25-27, 21-18, 17-21 di Gimnasium Shenzen Bay.

Kemenangan itu membolehkan Ji Ting-Xaing Yu melunaskan dendam selepas tewas di tangan Aaron-Wooi Yik di suku akhir Terbuka Denmark, bulan lalu yang menyaksikan gandingan negara itu merangkul gelaran Jelajah Dunia pertama dalam kerjaya mereka.

Turut mengalami nasib sama ialah satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang gagal mengekalkan momentum selepas memenangi set pertama apabila terpaksa akur tunduk di tangan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi juga dalam pertarungan tiga set 21-17, 11-21, 13-21.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei turut gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas di tangan pemain nombor tiga dunia dari China, Chen Yu Fei 9-21, 16-21.

Kekalahan ketiga-tiga wakil negara itu menyaksikan hanya perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menjadi wakil tunggal Malaysia yang melangkah ke suku akhir.

Terdahulu, Zii Jia mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan Lu Guang Zu 21-10, 21-12, sekali gus menempah pertemuan dengan wakil Jepun, Kenta Nishimoto bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 9:57 PM