AARON,  Wooi Yik  sertai enam kejohanan berturut-turut.
AARON, Wooi Yik sertai enam kejohanan berturut-turut.
Ferzalfie Fauzi


BUKAN hendak mendera tapi itulah hakikatnya perlu ditempuh pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila dihidangkan dengan enam kejohanan berturut-turut termasuk di Masters Sepanyol minggu lalu.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann selepas ini pemenang emas Sukan SEA Filipina 2019 itu akan mengambil bahagian di Terbuka Jerman, Seluruh England, Terbuka India, Terbuka Malaysia dan Terbuka Switzerland.

"Kami hanya menyenaraikan nama mereka di setiap kejohanan berkenaan kerana buat masa sekarang kita tidak tahu apa yang akan berlaku (dalam perlumbaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020)," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ujar bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, jika kelayakan Olimpik sudah berakhir dengan Aaron-Wooi Yik sah ke Tokyo dan prestasi mereka juga bertambah baik, BAM mungkin akan mengurangkan bebanan pasangan nombor lapan dunia itu.

"Jika mereka sudah layak kita mempunyai pilihan untuk mengeluarkan mereka dari kejohanan ditetapkan. Semuanya bergantung kepada keadaan fizikal mereka ketika itu. Ini sebahagian daripada pengembaraan yang kita perlu lalui. Saya buat masa sekarang itulah yang kita ingin terangkan mengapa mereka perlu melalui banyak kejohanan. Jika mereka berada di antara kelompok empat atau enam terbaik kita tidak bimbang.

"Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik terlepas beberapa peluang (untuk melonjakkan ranking). Sekarang kita mahu mereka memperkukuhkan kedudukan dan selamat daripada dipintas. Jika mereka menewaskan lawan di separuh akhir Masters Sepanyol minggu lalu mata mereka akan bertambah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 10:46 PM