GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Reuters

New York: Seorang profesor perubatan Amerika Syarikat (AS) didakwa atas tuduhan melakukan penipuan dengan menyerahkan data palsu untuk mendapatkan dana awam berjumlah jutaan dolar bagi melaksanakan penyelidikan ubat merawat penyakit Alzheimer.

Pendakwa raya persekutuan pada Jumaat berkata Hoau-Yan Wang, 67, memalsukan data yang dimasukkan dalam geran permohonan kepada Institut Kesihatan Nasional (NIH) bagi pihak dirinya dan syarikat farmaseutikal yang tersenarai secara terbuka di Austin, Texas yang mana beliau adalah seorang daripada perunding.

NIH kemudian menganugerahkan Wang, seorang profesor di fakulti perubatan City University of New York (CUNY), sekitar AS$16 juta (kira-kira RM75 juta) antara 2017 dan 2021, kata pendakwa raya.

Pendakwa raya tidak menamakan syarikat itu, tetapi keterangan menunjukkan ia adalah Cassava Sciences, yang menyenaraikan Wang sebagai perunding.

Bagaimanapun, Cassava tidak dituduh melakukan kesalahan.

Namun, Wang, CUNY dan Cassava belum memberikan ulasan ketika diminta berbuat demikian, manakala jurucakap NIH juga tidak memberi komen berhubung perkara itu.

Pada 2021, dua doktor yang tidak bergabung dengan Cassava didakwa melakukan penyelidikan asas bagi ubat Alzheimernya, yang dipanggil simufilam, berdasarkan data yang dimanipulasi dan disalahtafsir.

Peguam mewakili Cassava memberitahu Reuters pada 2022 bahawa tuduhan itu adalah 'palsu dan mengelirukan', serta syarikat sudah mematuhi permintaan maklumat daripada agensi kerajaan.

Laman sesawang Cassava menggambarkan Wang sebagai ketua saintis bersama dalam penemuan dan pembangunan simufilam.

Slaid pembentangan persidangan yang tersedia di laman web Cassava merujuk kepada Wang sebagai perunding kepada syarikat.

Cassava menggambarkan simufilam sebagai 'pendekatan yang baru' untuk merawat penyakit Alzheimer, satu bentuk demensia yang biasa.

Pada 10 Mei, syarikat itu memaklumkan, lebih 735 pesakit menyertai ujian klinikal fasa tiga ubat itu atau ujian berskala besar peringkat akhir.

Wang boleh berdepan hukuman penjara berdekad jika disabitkan kesalahan atas semua empat pertuduhan penipuan dan kenyataan palsu yang dihadapinya.

Berdasarkan rekod mahkamah, Juri Besar Persekutuan yang bersidang di Greenbelt, Maryland, mendakwanya pada Khamis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 11:03 AM