AKSI Wooi Yik (kiri) dan Aaron ketika di Masters Malaysia. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
AKSI Wooi Yik (kiri) dan Aaron ketika di Masters Malaysia. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu memastikan mental mereka di tahap tertinggi apabila dijadual berdepan laluan berliku sepanjang saingan Terbuka Singapura yang akan membuka tirainya pada Selasa.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan, pasangan nombor tiga dunia itu akan bertemu gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong yang menewaskan mereka di Masters Indonesia, Januari lalu.

Jika berjaya memenangi aksi itu, pasangan negara itu dijangka akan bertemu pemenang perlawanan antara juara Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dengan pasangan Indonesia yang juga juara Seluruh England 2022, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata, selaku juara dunia dan pasangan yang berada di kedudukan ketiga dunia, Aaron-Wooi Yik seharusnya bersedia untuk berdepan semua halangan yang perlu mereka tempuhi.

"Perkara paling penting adalah bagaimana mereka mempersiapkan mental mereka. Bagaimana cara nanti untuk menentang pasangan China itu dan beregu Indonesia atau Taiwan (jika mara ke pusingan kedua).

"Sebagai beregu utama dunia, mereka perlu ada pemikiran untuk mempersiapkan mental mereka bagi sentiasa bersedia menghadapi semua situasi yang mungkin boleh berlaku dalam kejohanan," katanya.

Untuk rekod, dalam dua kejohanan terakhir yang disertai Aaron-Wooi Yik, pasangan itu dilihat masih bergelut untuk kembali mencapai prestasi sebenar mereka apabila tersingkir di pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia, April lalu sebelum terkandas di suku akhir Masters Malaysia, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 4:07 PM