PASANGAN yang berdepan ujian berat seperti menghidap kanser perlu banyak bersabar dalam menerima ketentuan tuhan.
PASANGAN yang berdepan ujian berat seperti menghidap kanser perlu banyak bersabar dalam menerima ketentuan tuhan.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Pada awal perkahwinan, segalanya tampak manis dan bahagia sebelum wanita ini diuji menghidap kanser payudara tahap dua.

Berdasarkan jangkaan doktor, wanita mahu dikenali sebagai Nora, 33, bakal pulih sepenuhnya dan kembali normal selepas enam bulan menjalani rawatan.

Bagaimanapun sebaliknya berlaku apabila rawatan itu terpaksa diteruskan untuk setahun lagi susulan ubat diberikan tidak sesuai dengannya.

Bukan itu sahaja lebih menyayat hati, Nora turut disahkan menghidap penyakit cyst ovari yang memerlukannya menjalani pembedahan.

Biarpun kini sudah pulih sepenuh daripada kanser, situasi melawan penyakit itu dan berdepan masalah rumah tangga yang berakhir dengan perceraian memberi kesan mendalam terhadap dirinya biarpun sudah dua tahun berlalu.

Mengimbas kembali tragedi yang menimpa dirinya, Nora berkata, bekas suami mengetahui dia menghidap kanser payudara pada 2015 sebelum mereka mendirikan rumah tangga pada tahun berikutnya.

Katanya, pada ketika itu, doktor menjangkakan rawatan membabitkan kimoterapi, radioterapi dan pembedahan mengambil masa selama enam bulan sahaja sebelum dia dapat sembuh seperti sedia kala.

"Namun sebaliknya berlaku, apabila doktor mendapati ubat yang diberikan tidak sesuai dan perlu diganti dengan ubat lain. Situasi itu menyebabkan rawatan perlu dilanjutkan lagi.

"Keadaan menjadi lebih serius, saya turut perlu menjalani tiga pembedahan kerana menghidap penyakit cyst ovari.

"Dalam tempoh itu, saya tidak boleh bekerja dan perlu berulang alik ke hospital selama lima tahun untuk menjalani pelbagai rawatan termasuk kesan sampingan rawatan kanser," katanya.

Jelasnya, dalam tempoh menjalani pelbagai rawatan itu, dia yang ketika itu berusia 26 tahun tidak dapat bekerja.

"Rawatan kanser seperti kimoterapi memberi kesan kepada fizikal dan mental termasuk cepat penat, sering muntah dan hilang ingatan. Kesan sampingan ini menyebabkan saya tidak boleh bekerja.

"Mujurlah pada awalnya suami bersedia membantu dan saya mempunyai insurans (sekiranya dimasukkan ke hospital sahaja) yang dapat membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung," katanya.

Katanya, rawatan kanser diakui menuntut kos yang tinggi dan situasi ini menjadi antara punca keretakan rumah tangga apabila suami terpaksa bekerja sendiri untuk membantu menampung kos rawatan.

"Pada mulanya semuanya nampak ok, namun lama kelamaan kami sering bergaduh dan tidak menemui jalan penyelesaian kepada masalah ini kerana dia (bekas suami) lebih suka memendam masalah. Keadaan menjadi lebih buruk apabila negara dilanda pandemik sehingga menyebabkan perniagaannya (bekas suami) turut terjejas," katanya.

Pada masa sama, Nora mengakui ketidakmampuannya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri menjadi antara penyebab hubungan mereka terjejas.

"Bekas suami ada menyatakan hasrat ingin memiliki zuriat, namun dengan keadaan saya yang masih menjalani pelbagai rawatan, sukar untuk memenuhi kehendaknya pada ketika itu," katanya.

Dia berkata, sebagai pasangan muda yang tidak mempunyai pengalaman sudah tentu ia memberi kesan yang besar apabila menerima ujian sebesar itu.

"Sepatutnya ketika sedang melawan kanser, saya mendapat sokongan orang terdekat. Namun sebaliknya berlaku apabila tertekan diuji dengan masalah rumah tangga yang tidak berkesudahan," katanya.

Tambahnya, bagi menyelamatkan rumah tangga, mereka mengambil keputusan untuk bertemu dengan ahli psikologi untuk menjalani terapi pasangan pada 2019.

"Pada ketika itu bekas suami baru secara terbuka berkongsi berkenaan bebanan yang terpaksa ditanggung berikutan penyakit kanser yang saya hadapi turut memberi tekanan kepada dirinya.

"Pada ketika itu baru kami sedar bahawa usaha ini (terapi) sebenarnya sudah terlambat kerana pelbagai masalah sudah timbul dan tidak dapat diselesaikan lagi. Sepatutnya terapi ini dijalankan lebih awal supaya kami lebih bersedia daripada segi fizikal dan mental berdepan dengan ujian berat ini," katanya.

Nora berkata, selepas hampir lima tahun bersama, bekas suami akhirnya mengambil keputusan menceraikannya pada 2021.

"Sepatutnya kami bercerai lebih awal iaitu pada 2020 namun oleh kerana pandemik melanda, ia hanya dapat dilakukan pada tahun berikutnya.

"Saya akui perceraian ini memberi kesan trauma kepada diri, namun saya terima ketentuan Allah SWT ini dengan hati yang terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 11:00 AM