PENJAGA gol Tottenham, Hugo Lloris menyelamatkan gawangnya dalam aksi di Stadium  Georgios Karaiskakis, Athens. - FOTO AFP
PENJAGA gol Tottenham, Hugo Lloris menyelamatkan gawangnya dalam aksi di Stadium Georgios Karaiskakis, Athens. - FOTO AFP
Reuters

PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino kesal dengan kegagalan pemainnya ‘menghormati pelan’ selepas membenarkan Olympiakos Piraeus bangkit mengikat keputusan 2-2 dalam aksi Liga Juara Juara di Athens, awal pagi tadi.

Pelawat mendominasi perlawanan pada babak pertama dengan mendahului 2-0 menerusi penalti Harry Kane dan Lucas Moura tetapi Olympiakos merapatkan kedudukan hasil jaringan Daniel Podence sejurus sebelum rehat.

Tottenham kemudiannya menghadiahkan penalti disempurnakan Mathieu Valbuena pada minit ke-54 untuk menyamakan kedudukan.

Dengan menentang Bayern Munich yang lebih sukar selepas ini, Tottenham seharusnya memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B.

Buat kali kedua Tottenham membenarkan lawan bangkit selepas mendahului dua gol musim ini dengan Arsenal melakukannya di Emirates untuk memaksa keputusan seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana.

"Saya sangat kecewa. Jujurnya pada babak pertama saya tidak gembira dengan prestasi kami,” kata Pochettino.

"Kami mempunyai pelan sejak awal lagi tetapi kami tak menghormatinya. Saya beritahu pemain ketika rehat. Kami menjaringkan dua gol tetapi prestasi keseluruhan di luar jangkaan.

"Kami memberikan ruang kepada mereka dan gol pertama sangat menyakitkan. Kami tak agresif yang sepatutnya dilakukan dalam perlawanan ini.”

Pemain tengah Perancis, Valbuena pula memuji tindak balas rakan sepasukan selepas gawang mereka dua kali dibolosi pada babak pertama.

"Amat sukar melihat Tottenham mendahului 2-0 ketika kami membazirkan beberapa peluang. Tetapi kami enggan berputus asa dan terus mempamerkan semangat juang tinggi.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:13 AM