PEMAIN Red Star,  Mateo Garcia   (kanan)  meraikan jaringan di Bern, awal pagi tadi. - FOTO EPA
PEMAIN Red Star, Mateo Garcia (kanan) meraikan jaringan di Bern, awal pagi tadi. - FOTO EPA
AFP

JARINGAN penalti Guillaume Hoarau pada babak kedua membolehkan Young Boys seri 2-2 menentang bekas juara, Red Star Belgrade dalam aksi playoff pusingan pertama Liga Juara-Juara di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Roger Assale membuka tirai jaringan buat tuan rumah sebelum jaringan Milos Degenek dan Mateo Garcia meletakkan juara Eropah 1991 di hadapan sejurus selepas rehat.

Penalti Hoarau diberikan selepas reviu VAR mendapati Nicolas Ngamaleu dikasari ketika permainan berbaki 15 minit di Bern, Switzerland itu.

"Prestasi kami bagus tetapi mungkin kami terlalu baik hati dengan memberikan mereka dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan,” kata Hoarau kepada UEFA.com.

"Kami kecewa kerana kami mendominasi perlawanan, mencipta lebih peluang tetepi gagal menang. Keputusan ini bagus untuk mereka tetapi semuanya belum tamat,” katanya lagi.

Kedua-dua pasukan beraksi kali pertama dalam peringkat kumpulan musim lalu dan Young Boys meletakkan tuan rumah pada minit ke-7 selepas Assale menolak bola masuk melepasi jangkauan penjaga gol, Milan Borjan.

Degenek menyamakan kedudukan 11 minit kemudian menerusi tandukan mengelirukan penjaga gol tuan rumah, David van Ballmoos dan mereka mendahului apabila Garcia yang mendapat hantaran Marko Gobeljic dari sebelah kanan merembat kencang seminit selepas bermula babak kedua.

Tuan rumah bernasib baik apabila pengadil memberikan penalti selepas reviu VAR mendapati Ngamaleu dikasari Richmond Boakye pada minit ke-76 dan Hoarau menyamakan kedudukan buat Young Boys.

Walaupun seri, Red Star memiliki kelebihan dalam aksi peringkat kedua minggu hadapan berdasarkan gol di tempat lawan.

Dalam perlawanan lain, Olympiakos berpesta gol menewaskan Krasnodar 4-0 di tempat sendiri manakala juara Croatia, Dinamo Zagreb menewaskan Rosenborg 2-0 hasil jaringan Bruno Petkovic dan Mislav Orsic di babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 7:19 AM