AKSI Heung-min menjaringkan gol kedua Spurs.
AKSI Heung-min menjaringkan gol kedua Spurs.
Reuters

London: Tottenham Hotspur bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi yang menyaksikan pelawat mengukuhkan kedudukan di tangga keempat.

United kini enam mata di hadapan Spurs yang menduduki tangga kelima dengan berkelebihan dua perlawanan dalam tangan sekali gus menyempitkan peluang skuad London itu untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Jadon Sancho dan Marcus Rashford meletakkan United 2-0 pada babak pertama tetapi dua jaringan Pedro Porro dan Son Heung-min selepas rehat menyelamatkan tuan rumah.

"Sudah tentu anda agak kecewa apabila mendahului 2-0 tetapi berakhir seri," kata pengurus United Erik ten Hag. "Kami mempunyai beberapa peluang ketika kedudukan 2-1 tetapi gagal sebaliknya melepaskan gol. Namun, saya rasa 2-2 keputusan seri yang bagus."

Sekumpulan penyokong menyatakan tidak puas hati mereka kepada pengerusi Spurs Daniel Levy di luar stadium sambil melaungkan 'Kami mahu Levy keluar' susulan kekalahan besar 1-6 di Newcastle Ahad lalu.

Kekecewaan itu tampak berlarutan apabila Sancho membuka tirai jaringan selepas tujuh minit permainan berlangsung apabila penyerang itu meledak rembatan rendah menewaskan penjaga gol Fraser Forster.

Sancho hampir menggandakan jaringan selepas 19 minit apabila percubaannya diselamatkan di atas garisan oleh Ivan Perisic.

Rashford kemudiannya menjadikan kedudukan 2-0 sejurus sebelum rehat apabila dia yang mendapat hantaran daripada Bruno Fernandes tangkas melepasi kawalan dua pemain United sebelum menewaskan Forster.

Pertahanan Tottenham Porro merapatkan jurang buat tuan rumah apabila percubaannya menewaskan penjaga gol David De Gea minit ke-56 susulan bola muntah hasil rembatan Harry Kane.

Bruno Fernandes terlepas peluang terbaik menjadikan kedudukan 3-1 untuk United tetapi rembatannya terkena palang.

"Sudah tentu kecewa tapi jangan salahkan seorang pemain," kata Ten Hag. "Kami tidak cukup tajam dan sepatutnya dapat lebih gol. Gol kami lepaskan terlalu mudah yang sepatutnya boleh dielakkan."

Spurs turut mencipta beberapa peluang dengan Dier hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan jarak dekatnya sedikit tersasar.

Tekanan berterusan akhirnya berhasil apabila rembatan Heung-min selepas mendapat hantaran Kane minit ke-79 menyelamatkan Spurs dan mendapat tepukan gemuruh penyokong.

"Saya bangga dengan reaksi mereka. Aksi babak kedua mengagumkan dan karakter kami tunjukkan selepas kekalahan Ahad lalu dan ketinggalan dua gol malam ini," kata Ryan Mason selepas perlawanan pertamanya mengendalikan pasukan sebagai pengurus sementara kali kedua.

"Saya harap penyokong dapat melihat kami sebagai satu pasukan hari ini dan kami berlari sesama sendiri. Pada babak kedua kami sepatutnya mendapat lebih jaringan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 7:28 AM