KENYATAAN yang dimuat naik di laman rasmi Facebook PFAM.
KENYATAAN yang dimuat naik di laman rasmi Facebook PFAM.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Ketika banyak pihak ‘menyerang’ Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berkaitan kenyataan membabitkan tunggakan gaji RM6.4 juta, organisasi yang membela nasib pemain itu tidak mudah goyah apabila mengeluarkan bukti berkaitan perkara terbabit semalam.

PFAM memaklumkan kenyataan yang dikeluarkan persatuan terbabit bukanlah secara melulu, malah ia berdasarkan rekod aduan yang diterima daripada pemain.

Katanya, kes membabitkan Pahang dan Negeri Sembilan adalah tuntutan gaji bekas pemain import mereka, Alex de Morais yang dipinjamkan pasukan Tok Gajah ke skuad Jang iaitu kedua-dua pasukan bersetuju berkongsi membuat bayaran gaji pemain.

“Sehingga kenyataan dikeluarkan pada Ahad, 4 Ogos lalu, pemain mengesahkan bahawa dia belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan. Malah, Negeri Sembilan juga tidak memberi sebarang maklum balas kepada kami berhubung perkara ini.

“Perkara sama di Pahang, apabila pemain memaklumkan tidak menerima bayaran dan hanya memaklumkan kepada kami bahawa mereka akan membuat bayaran pada bulan ini.

“Pasukan Melaka pula, tuntutan yang dibuat G Puaneswaran, Syawal Norsam, Faridzuean Kamarudin, Tiago Gomes, Lee Chang Hoon dan pemain skuad Piala Presiden, kami suarakan memandangkan pihak pengurusan berjanji bayaran akan dibuat selepas mendapat wang geran hak penyiaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya, di sini.

Selain itu, katanya, kes membabitkan bekas pemain Kelantan seperti Brendan Gan, Noor Hazrul, Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree, Amiridzwan Taj dan Badhri Radzi masih lagi belum selesai walaupun sudah berlanjutan hampir lima tahun.

“Kes ATM FA (sembilan pemain), PDRM FA (Nakatake Shunsuke, Petrisor Voinea, Izaaq Izhan) dan Felda United FC (Jaycee John).

“Kami akui sudah ada perjanjian baik secara bertulis dan lisan, antara pasukan serta pemain bagi menyelesaikan bayaran hutang secara berperingkat. Namun, apa yang dikesalkan adalah pasukan tidak membuat bayaran mengikut jadual pembayaran yang sudah dipersetujui,” katanya.

Sementara itu, PFAM juga menyatakan bahawa isu gaji sekiranya tidak boleh diatasi kemungkinan akan menjadi penghalang kepada visi FAM mahupun MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:30 AM