ISU tunggakan gaji pemain adalah simbol kegagalan urus tadbir profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia. FOTO hiasan
ISU tunggakan gaji pemain adalah simbol kegagalan urus tadbir profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia. FOTO hiasan
Firdaus Hashim


SEKURANG-KURANGNYA 12 pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang masih wujud atau sudah berkubur masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain berjumlah RM6.4 juta meskipun separuh daripada wang hak penyiaran liga itu diagihkan kepada semua pasukan pada 15 Julai lalu.

Antara pasukan yang masih gagal melunaskan tanggungjawab itu adalah naib juara Liga Super musim ini iaitu Pahang, Melaka United dan FELDA United manakala PDRM yang bakal beraksi di Liga Super musim depan mengetuai senarai pasukan dari Liga Perdana bersama Kelantan dan Negeri Sembilan.

Sebuah lagi pasukan beruniform iaitu ATM yang beraksi di Liga M3 turut gagal menyelesaikan tunggakan gaji sementara penutupan lima pasukan Perlis, Terengganu City FC (TCFC), Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United tiada jalan penyelesaian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail berkata, masalah tunggakan gaji yang tiada titik noktahnya itu semakin parah apabila pengurusan pasukan dilihat seperti sengaja tidak mahu menyelesaikan masalah berkenaan walaupun sudah berkali-kali diarahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya, ‘penyakit’ ini akan terus menjalar dan merosakkan industri bola sepak negara biarpun pelbagai iniasitif dilancarkan FAM mahupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi pelancaran F:30 dan NEXT50 (Pelan Induk Strategik 50 Tahun Liga M).

“PFAM amat kecewa, memandangkan sebelum ini pasukan menggunakan alasan sedang menunggu wang geran hak penyiaran daripada MFL untuk menyelesaikan hutang, namun selepas MFL membuat pengumuman bahawa wang sudah diberikan, pasukan terbabit masih tidak membuat bayaran seperti yang dijanjikan.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail. FOTO Eizairi Shamsudin
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail. FOTO Eizairi Shamsudin

“Pasukan seperti Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung perkara ini. Malah, ada juga pasukan yang sudah membuat perjanjian untuk bayaran secara berperingkat kepada pemain, namun masih melanggar perjanjian seperti ATM, PDRM dan FELDA United.

“Selain itu, nasib pemain daripada pasukan yang sudah ditutup terus terpinggir dan tidak terbela. Pemain Perlis, TCFC, Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United terus berada dalam keadaan tidak menentu, kerana kelompongan struktur sedia ada yang tidak memberi sebarang jaminan terhadap nasib pemain ini,” katanya.

Jelas Izham, sudah tiba masanya kerajaan negeri membantu meringankan beban pemain yang ketika ini kebuntuan seolah-olah tiada pembelaan daripada pasukan mahupun daripada badan induk bola sepak tempatan.

“Bagaimanapun, angka RM6.4 juta ini harus diakui, adalah simbol sebuah kegagalan urus tadbir yang profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia. Angka ini bukti betapa industri bola sepak kita sedang tenat, atau mungkin ia tidak lagi mapan untuk bergerak sebagai sebuah industri. Kita sedang menghantar mesej moral yang sangat negatif buat anak-anak kecil yang berimpian untuk memasuki industri ini.

“PFAM berasa teramat kecewa dengan pihak yang lepas tangan serta pihak menuding jari bermain ‘blame game’, lantas menzalimi pemain yang bergantung sepenuhnya terhadap industri ini. Malah percayalah, kita tidak akan mampu bergerak ke arah F30 mahupun NEXT50 sekiranya kita masih terperangkap dalam kerangka RM6.4 juta ini,” katanya yang berharap pasukan bermasalah berkenaan supaya memandang pemain sebagai manusia dan bukannya sebagai hamba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 6:00 AM