PFAM masih berpegang kepada prinsip betapa kontrak antara kedua-dua pihak perlu dihormati. FOTO Ihsan PFAM
PFAM masih berpegang kepada prinsip betapa kontrak antara kedua-dua pihak perlu dihormati. FOTO Ihsan PFAM
Syazwan Msar


PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meletakkan dua syarat yang harus dipatuhi pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) sebelum membincangkan isu pemotongan atau penangguhan gaji pemain bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya.

Antara syarat yang perlu dipatuhi pasukan atau kelab adalah wajib menyelesaikan tunggakan gaji sebelum pandemik Covid-19 bermula selain rundingan atau persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain dan bukannya berkumpulan.

PFAM menerusi kenyataannya memaklumkan bahawa setiap pemain mempunyai nilai gaji yang berbeza, keperluan yang berbeza dan selayaknya bersetuju atas nilai pemotongan yang berlainan antara satu sama lain.

Menurutnya, PFAM masih berpegang kepada prinsip betapa kontrak antara kedua-dua pihak perlu dihormati dan dilaksanakan sebaiknya.

“Namun begitu, perlu diingatkan juga, sebelum berlakunya pandemik ini, masih lagi terdapat beberapa pasukan yang sudah pun mempunyai tunggakan gaji kepada pemain.

“PFAM tidak mahu pasukan ini, menjadikan alasan Covid-19 sebagai punca permasalahan mereka, sedangkan sudah pun wujud sebelum pandemik ini bermula.

“Apa yang dikesalkan oleh PFAM sebelum ini adalah, pihak majikan ibarat ‘memaksa’ pemain untuk menyatakan persetujuan dengan cepat berhubung isu pemotongan gaji sedangkan pihak majikan masih berlengah berhubung tunggakan gaji kepada para pemain,”katanya di sini.

Terdahulu, FAM pada Khamis lalu meminta semua pihak agar akur dengan garis panduan FIFA yang dikeluarkan bagi bersama-sama menangani impak ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19.

Beberapa langkah dicadangkan FAM seperti pasukan perlu berbincang terus dengan pemain serta kakitangan teknikal melalui satu perjanjian bersama.

Selain itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan PFAM juga digalakkan duduk semeja menyediakan sebarang bentuk pakej serta pelan 'Penstrukturan Penggajian Sementara' yang mewakili semua pasukan serta pemain.

Sementara itu, PFAM juga, memohon pihak FAM dan MFL, untuk membantu pasukan yang mempunyai masalah kewangan supaya pemain tidak menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 9:11 PM