PEMAIN Kedah meraikan kemenangan selepas menewaskan FELDA United  di Stadium Tun Abdul Razak. - FOTO  Muhd Asyraf Sawal
PEMAIN Kedah meraikan kemenangan selepas menewaskan FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak. - FOTO Muhd Asyraf Sawal
Nik Sukry Ramli


WALAUPUN layak ke pentas final Piala FA, pengendali skuad Kedah, Aidil Shahrin Sahak belum berpuas hati dengan persembahan dipamerkan anak buahnya.

Beliau berkata, pemain Lang Merah perlu memperbaiki corak permainan mereka bagi mengelak senario di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam berulang.

Bekas pengendali Home United itu berpendapat, skuad kendaliannya mendominasi aksi separuh masa pertama tetapi lebih berhati-hati pada babak kedua.

"Apapun keputusan malam ini (semalam), saya bersyukur kerana kami berjaya mengekang kebangkitan FELDA United.

"Kita mengawal sepenuhnya aksi babak pertama namun kehilangan rentak pada separuh kedua menyaksikan mereka berjaya mencari gol," katanya.

Dalam aksi itu, impian The Fighters United mara ke pentas final Piala FA dan mengulangi pencapaian musim lalu musnah walaupun menang 3-2 pada aksi separuh akhir kedua.

Keputusan itu menyaksikan skuad Lang Merah yang mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan mara ke perlawanan akhir dengan agregat 3-3 untuk bertemu Perak.

Aidil Shahrin mengakui secara keseluruhan persembahan anak buahnya masih perlu diperbaiki menjelang final bertemu Perak.

"Saya tidak boleh mengatakan kami sudah baik apabila mendahului dan kemudiannya melepaskan tiga gol. Kita tidak boleh melakukan kesilapan sebegini dengan Perak apatah lagi mereka pasukan yang amat baik dari segi serangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 12:45 PM