Skuad FELDA United kendalian Nidzam (kiri) akan beraksi tanpa tiga tonggak utama. FOTO NSTP.
Skuad FELDA United kendalian Nidzam (kiri) akan beraksi tanpa tiga tonggak utama. FOTO NSTP.
Asrol Awang


BIARPUN tanpa tiga tonggak utama, FELDA United FC berjanji untuk memberi saingan sengit apabila bertemu Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok. 

Pengendali skuad The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, beliau tidak perlu merintih di sebalik ketiadaan tiga pemain utama itu memandangkan barisan pemain sedia ada juga dilihat mampu memberikan persembahan yang baik. 

"Tiga pemain ini ada atau tidak, bukan bermakna kita sudah mengalah.

Lagi pun, FELDA United masih memiliki pemain sedia diturunkan bila-bila masa apabila khidmat mereka diperlukan.

"Walaupun kehilangan tiga tonggak utama ini akan menjejaskan sedikit persembahan pasukan, tapi kita akan berikan persembahan terbaik dalam usaha menafikan kemenangan Kedah," katanya.

Tiga pemain tidak dapat diturunkan itu ialah Thiago Aquino dan Masaki Watanabe digantung satu perlawanan manakala Khairul Amri Kamal mengalami kecederaan hamstring. 

"Mahu atau tidak, saya perlu percaya dengan kemampuan pemain sedia ada untuk mengukuhkan jentera pertahanan dan memperkuatkan jentera serangan," katanya. 

Mohd Nidzam berkata, The Fighters perlu kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan. 

"Faktor beraksi di laman sendiri dimiliki skuad Lang Merah akan memberi kelebihan kepada mereka dan saya harap ia tidak akan menggangu tumpuan pemain," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 12:39 PM