AIDIL (tiga dari kanan) ketika latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
AIDIL (tiga dari kanan) ketika latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Firdaus Hashim & Syazwan Msar

PENGENDALI Kedah Aidil Sharin Sahak memuji semangat berpasukan tinggi yang ditunjukkan anak-anak buahnya yang menjadi kunci kejayaan pasukan itu menundukkan Perak 1-0 pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Gol tunggal skuad Lang Merah dihadiahkan oleh pemain gantian Fadzrul Danel Mohd Nizam yang hanya memerlukan dua minit untuk memecah kebuntuan pada minit ke-105 masa tambahan babak pertama.

Kemenangan itu juga sekaligus mengesahkan kejuaraan kali kelima buat skuad Hijau Kuning selepas memenanginya pada 1996, 2007, 2008 dan 2017.

“Terus terang saya tak jangka kemenangan ini apabila saya mengambil alih pasukan pada tahun pertama. Bukan mudah terutama datang dalam budaya baru, suasana baru dan juga pemain yang kami ada hanya separuh daripada musim lalu.

“Tapi sebagai jurulatih, saya perlu bentuk semula pasukan di mana daripada banyak buih, saya kena jadikan satu buih.

“Alhamdulillah dengan disiplin, komitmen, mendengar arahan dan keinginan pemain untuk membentuk satu keluarga, saya rasa itu berjaya menyatukan kami walaupun (bermain) tanpa Renan (Alves) kami berjaya raih kemenangan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Aidil yang hadir ke Kedah awal musim ini dengan reputasi hebat membawa kelab Singapura Home United menjuarai Zon ASEAN Piala AFC musim lalu mengakui tidak senang duduk sepanjang aksi terutama mengenangkan barisan pertahanan yang beraksi tanpa Alves.

Bagaimanapun, pertaruhan menurunkan Amirul Hisyam Awang Kechik bergandingan dengan Shakir Hamzah membuahkan hasil apabila gandingan berkenaan tenang mengekang asakan penyerang Perak, Careca dan Ronaldo Silva.

“Alhamdulillah, Amirul hari ini (kelmarin) menunjukkan dia boleh main di mana-mana tempat bukan hanya di tengah. Malah, sebelum ini dia juga pernah main pertahanan kanan tahun ini dan tentunya kita terpaksa ambil risiko walaupun persiapan kita hanya lima hari.

“Begitupun kita juga tak boleh lupa pemain lain di sebelah Amirul, di depan dia, di bekakang yang menolong dia juga dan itu banyak membuat pemain itu lagi mudah dan yakin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 2:08 PM