KIPRE tekad ulangi pencapaian cemerlang 2018. -FOTO Ghazali Kori
KIPRE tekad ulangi pencapaian cemerlang 2018. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kurang 12 jam sebelum sepak mula final Piala FA membabitkan pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), penyerang sensasi skuad Penyu, Kipre Tchetche melaungkan keyakinan untuk mengulangi pencapaian empat tahun lalu.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu kini berada pada tahap terbaik selepas mencipta jaringan hatrik ketika pasukannya, Terengganu FC (TFC) membelasah Melaka United FC (MUFC), 5-0 pada aksi Liga Super minggu lalu.

Pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2018 menentang JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Tchetche muncul watak pemusnah selepas dua jaringannya pada babak kedua membantu pasukan TFC mara ke pentas final dengan agregat 3-2 apabila menang 1-0 pada aksi pertama.

Bagaimanapun bekas penyerang skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim lalu itu sedar bukan mudah buatnya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama kerana perlu bersaing dengan dua lagi pemain import.

Tiga kuota tenaga asing hampir pasti menjadi milik pertahanan kelahiran Senegal, Pape Diakite, pemain tengah, Habib Haroon dan Manuel Ott manakala dua lagi slot menjadi rebutan tiga pemain iaitu Petrus Shitembi (tengah), Kpah Sherman (penyerang) dan Tchetche.Berdasarkan prestasi semasa, kemungkinan besar jurulatih, Nafuzi Zain bakal menggunakan formasi 4-4-2 dengan menyenaraikan dua penyerang.

"Terpulang kepada ketua jurulatih sama ada menyenaraikan saya ataupun sebaliknya, apa yang pasti jurulatih sudah ada percaturannya yang tersendiri untuk berdepan dengan JDT.

"Tapi sejujurnya saya berazam untuk beraksi lebih-lebih lagi ini adalah final dan peluang sebegini tidak selalunya datang, lagipun ketika final Piala Malaysia 2018, saya kecewa selepas gagal membantu pasukan meraih trofi selepas tumpas kepada Perak.

"Saya harap mereka yang diturunkan nanti dapat memperagakan aksi terbaik bagi memastikan impian peminat untuk melihat trofi itu dibawa ke bumi Terengganu tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 12:45 PM