Melaka (baju biru) melakukan asakan ke pintu gol ATM. FOTO Ihsan pasukan Melaka
Melaka (baju biru) melakukan asakan ke pintu gol ATM. FOTO Ihsan pasukan Melaka
Meor Riduwan Meor Ahmad


SKUAD bola sepak wanita Melaka mencerahkan peluang ke separuh Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 apabila membelasah ATM, 5-0 dalam perlawanan di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang hari ini.

Selepas berehat hampir dua bulan, skuad bimbingan Penolong Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Jamil Hassan, langsung tidak memberi ruang kepada lawan dalam saingan piala berprestij itu dengan permainan kemas.

Menurut Jamil, beliau bangga dengan persembahan anak didiknya hingga mencipta jaringan besar memandangkan mereka hanya dapat berlatih bersama dua minggu sebelum saingan liga bersambung hari ini hingga Ahad.

Skuad Melaka. FOTO Ihsan pasukan Melaka
Skuad Melaka. FOTO Ihsan pasukan Melaka

Katanya, kemenangan bergaya itu sekali gus memberi keyakinan kepada pemain untuk berusaha lebih kuat untuk ke final selepas muncul naib juara Piala Tun Sharifah Rodziah tahun lalu.

"Syukur kepada Allah, kemenangan ini membuka ruang untuk ke final. Saya bangga pemain mengikut arahan dan matang dari segi permainan.

"Pemainan mereka cukup kemas, tidak gopoh dan tenang. Ini kerana selepas Hari Raya kami hanya dapat berkumpul dua minggu sebelum perlawanan untuk latihan bersama.

"Dari segi tahap kecergasan memang pemain saya kurang berbanding pemain ATM, jadi saya tumpukan pada taktikal," katanya dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian terhadap perlawanan awal, Melaka mampu mengatasi ATM, namun tidak menyangka menghasilkan lebih daripada dua gol yang dianggap bonus.

"Kita sasar dua gol sahaja, namun pemain saya bermain dengan tenang dan tidak melakukan sebarang kesilapan dan mencipta satu gol di separuh masa pertama.

"Selepas mengkaji perlawanan, saya minta kekalkan rentak, cuma ubah taktikal iaitu pemain tengah lebih banyak buat hantaran rendah dan percubaan leret jika mendapat ruang.

Penyerang termasuk pemain sayap pula buat 'follow up'.

"Apa yang saya lihat penjaga gol ATM bagus dari segi kawalan bola tinggi, namun agak kelam kabut bila bola rendah. Keseluruhannya memang saya puas hati dengan persembahan semua pemain," katanya.

Kemenangan Melaka dibantu pemain berjersi nombor 19, Dadree Rofinus yang meledak empat gol dan pemain tengah, Haindee Mosroh.

Sementara itu, Jamil berharap pemainnya meneruskan rentak kemenangan untuk baki dua perlawanan menentang Perak esok dan Kelantan.

Dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan Kedah menewaskan pendahulu saingan, PDRM, 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:37 PM