Aksi pemain Kedah ketika menewaskan Selangor. FOTO Ihsan Bolasepak Wanita Kedah
Aksi pemain Kedah ketika menewaskan Selangor. FOTO Ihsan Bolasepak Wanita Kedah
Skuad wanita Kedah tewaskan ATM 3-0. FOTO Ihsan Bolasepak Wanita Kedah
Skuad wanita Kedah tewaskan ATM 3-0. FOTO Ihsan Bolasepak Wanita Kedah
Meor Riduwan Meor Ahmad


DENGAN merekodkan tiga kemenangan berturut-turut, penyandang juara Piala Tun Sharifah Rodziah (TSR), Kedah kekal optimis untuk sekali lagi menjulang piala berprestij itu.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan berlangsung di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang, hari ini, pasukan dari utara tanah air itu mengetepikan cabaran ATM, 3-0.

Pengurus pasukan bola sepak wanita Kedah, Norzaihana Mohd Zain berkata, kemenangan itu membolehkan mereka kekal di kedudukan pertama dengan mengumpul 15 mata daripada enam perlawanan sekali gus mara ke separuh akhir.

"Saya bersyukur biarpun rata-rata skuad dibarisi pemain baru dan belum begitu mantap dari segi persefahaman berbanding pasukan lawan. Namun, mereka dapat bermain sebagai satu pasukan dan mencatat kemenangan demi kemenangan.

"Seperti saya nyatakan sebelum ini, semua pasukan melakukan persediaan rapi untuk saingan piala TS dan kami berusaha memberikan saingan terbaik dan fokus kita untuk kekalkan kejuaraan tahun lalu," katanya dihubungi, hari ini.

Sementara itu, fokus Kedah adalah meneruskan rentak kemenangan bertemu Selangor, di Stadium Universiti Multimedia Malaysia di Cyberberjaya pada 6 Julai ini.

Norzaihana berkata, kemenangan 2-1 ke atas Selangor semalam (Sabtu) tidak seharusnya melekakan pemain Kedah apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di separuh akhir.

"Saya ingatkan pemain tidak ambil mudah cabaran Selangor kerana dalam perlawanan semalam ada beberapa pemain utama mereka direhatkan.

"Kita ambil cabaran itu, jadi semua pemain perlu lebih serius berdepan pasukan Selangor yang mempunyai kelebihan tersendiri.

"Selain itu bermain di Cyberjaya mungkin kelebihan untuk Selangor kerana ramai penyokong mereka boleh hadir. Apapun kami akan memberikan saingan terbaik," katanya.

Dalam perlawanan lain PDRM menewaskan Perak 2-0 manakala Melaka yang juga naib juara piala TSR 2018, pula mengetepikan pasukan di tangga tercorot, Kelantan, 4-0 sebentar tadi.

Kemenangan itu mengesahkan Melaka dan PDRM mengiringi Kedah dan Selangor di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:05 PM