PEMAIN ATM (jersi merah) menahan serangan pemain Selangor.
PEMAIN ATM (jersi merah) menahan serangan pemain Selangor.
Saiful Affendy Sapran


SELANGOR mencerahkan peluang untuk merebut tiket ke separuh akhir kejohanan hoki Piala Razak Wanita selepas menang 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan kedua Kumpulan B, hari ini.

Kemenangan itu cukup penting buat anak buah Ikmal Abdul Jabbar selepas sekadar seri 1-1 dengan Melaka pada perlawanan pertama.

“Memang perlawanan ini cukup penting kerana kami memerlukan kemenangan. Sebenarnya Selangor boleh bermain dengan lebih baik lagi.

“Kami akan bertemu Johor pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok dan sudah tentu kami mahukan kemenangan.

“Yang pasti setiap pemain perlu bekerja lebih keras jika mereka mahu beraksi di separuh akhir,” kata Ikmal.

PEMAIN ATM, Nur Adriana Mohd Nawawi (kanan) mengasak pemain Selangor pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-2, 2017 (wanita) di Stadium Hoki Kuala Lumpur. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI
PEMAIN ATM, Nur Adriana Mohd Nawawi (kanan) mengasak pemain Selangor pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-2, 2017 (wanita) di Stadium Hoki Kuala Lumpur. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI

Selangor kini memimpin Kumpulan B dengan mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Kuala Lumpur hari ini, pemain kebangsaan Siti Rahmah Othman meletakkan ATM di depan pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti.

Namun Selangor bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-38 selepas Fatin Shafikah Mahd Sukri menyempurnakan penalti stroke.

Seminit kemudian, Raja Norsharina Raja Shabuddin menambah gol kedua hasil pukulan sudut penalti.

Dalam saingan Kumpulan A, Terengganu juga mencerahkan peluang ke separuh akhir selepas menewaskan Indonesia 2-0.

Auni Athika Ghani menjaringkan gol pada minit ke-53 untuk meletakkan Terengganu di depan sebelum Siti Azlinda Atan mengesahkan kemenangan dengan gol kedua hasil jaringan padang dua minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 10:36 PM