PEMAIN golf Korea Selatan, Park Sung-hyun bersama trofi Jelajah LPGA Amerika Syarikat (AS). FOTO AFP
PEMAIN golf Korea Selatan, Park Sung-hyun bersama trofi Jelajah LPGA Amerika Syarikat (AS). FOTO AFP
AFP

LOS ANGELES: Park Sung-hyun kembali merampas ranking nombor satu dunia selepas birdie pada aksi pusingan pertama playoff membolehkannya meraih gelaran Jelajah LPGA Amerika Syarikat (AS) ke atas Lizette Salas di Indianapolis.

Kemenangan ketiga bintang golf Korea Selatan itu pada musim ini melonjaknya daripada ranking keempat dunia untuk memintas pemain Thailand,  Ariya Jutanugarn di persada carta.

Ariya yang memerlukan penamat lima terbaik untuk mengekalkan statusnya itu andai Sung-hyun memenangi gelaran di sini, sekadar menamatkan aksi di kedudukan ketujuh.

Sung-hyun dan Lizette masing-masing menutup cabaran 72 lubang di lapangan Brickyard Crossing Golf dengan berkongsi catatan tertinggi 23 di bawah par 265.

Lizette memulakan aksi pusingan keempat dengan kelebihan dua pukulan dan kekal satu pukulan di depan sehingga bogey pada lubang ke-17. Pemain Amerika Syarikat itu mempunyai peluang terbaik untuk menyambar kejuaraan tetapi terlepas birdie di lubang ke-18.

Sebaliknya dia sekadar mencatat dua di bawah par 70 pada pusingan itu manakala Sung-hyun, yang turut mempunyai peluang untuk memenangi gelaran merakam 68 pukulan.

Seorang lagi pemain Korea Selatan, Amy Yang berpuas hati di kedudukan ketiga selepas mencatat 69 pukulan untuk keseluruhan 266, dan satu pukulan dibelakangnya adalah rakan senegaranya sendiri iaitu Ko Jin-young. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:38 AM