JIN Young mendahului hari kedua saingan Tour Championship LPGA di Florida. FOTO AFP
JIN Young mendahului hari kedua saingan Tour Championship LPGA di Florida. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemain nombor satu dunia, Ko Jin Young membenam lima birdie untuk mencatat lima di bawah par 67 bagi mendahului satu pukulan ke atas Kim Sei Young dan Lexi Thompson dalam saingan Tour Championship LPGA.

Wakil Korea Selatan itu yang baru beraksi dalam kejohanan LPGA keempatnya musim ini, melakukan catatan keseluruhan sembilan di bawah par 135.

Dengan tawaran hadiah kemenangan sebanyak AS$1.1 juta (RM4.4 juta), Jin Young boleh mendahului kedudukan wang terkumpul musim ini walaupun dengan hanya perbezaan yang sedikit.

Dia sebenarnya masih belum mendapat tempat untuk beraksi di Tour Championship sehingga berjaya berkongsi kedudukan kedua di Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Bagaimanapun, dia cuba untuk memberi fokus terhadap permainannya, berbanding meraih trofi atau pencabar terdekatnya, Sei Young, yang sedang memburu kedudukan ranking nombor satu dunia.

"Kedudukan ranking dunia, pada pendapat saya ia hanya sebahagian kecil dari sukan golf. Jadi jika saya bermain dengan baik, saya masih dapat mempertahankan kedudukan nombor satu dunia.

"Jika tidak dan jika dia bermain dengan baik, dia mampu untuk merampasnya, tapi saya tidak kisah," kata Jin Young.

Pemain yang berkongsi tempat kedua membabitkan juara sebelum ini di Tiburon Golf Club, Naples, Florida iaitu Sei Young (2019) dan Lexi (2018).

Sei Young beraksi di pusingan kedua dengan meraih 69 pukulan, manakala pendahulu hari pertama Lexi, yang cuba memburu kejuaraan pertama tahun ini mengumpul 71 pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 1:23 PM