MARQUEZ pernah menang sekali perlumbaan di Jerez.
MARQUEZ pernah menang sekali perlumbaan di Jerez.
Agensi

Jerez, Sepanyol: Pendahulu kejuaraan Marc Marquez memiliki kelebihan 21 mata di depan ketika dia bersiap sedia bagi perlumbaan hujung minggu ini di Jerez, Sepanyol sekali gus mengukuhkan kedudukannya.

Tiga perlumbaan menghasilkan tiga podium dan dua kemenangan buat
Marquez, penunggang Sepanyol yang muncul sebagai pilihan awal juara ketika pencabarnya bergelut menamatkan perlumbaan.

Persembahan konsisten dan kepantasan menakjubkan menyaksikan Marquez mendahului Kejuaraan MotoGP Dunia dengan 66 mata manakala pencabar terdekatnya Jorge Lorenzo dari Yamaha mengumpul 45 mata di tangga kedua dan pelumba veteran Itali Valentino Rossi di tangga ketiga dengan 33 mata.

Marquez menjangkakan hujung minggu lebih sukar kerana litar Eropah memerlukan pelarasan berbeza berbanding tiga pusingan terdahulu.

Dia dan kru setianya perlu terus bekerja keras bagi mengubah suai jentera RC213V berdepan cabaran Jerez.

Tidak kira apa keputusannya pada perlumbaan Ahad ini, juara MotoGP dunia dua kali itu teruja kembali berlumba di depan penyokong negaranya.

Dia mungkin hanya menang sekali di Jerez sebelum ini namun Marquez berakhir dalam kelompok dua terbaik bagi empat tahun terakhir.

“Kami amat gembira menuju ke Jerez dengan kelebihan kecil dalam kejuaraan kerana saya fikir pencabar kami akan lebih menyengat di sana.

“Saya juga amat gembira dengan kerja yang dilakukan bersama Honda dan pasukan saya kerana kami meningkat setapak demi setapak dalam setiap perlumbaan, kami menemui pelarasan asas baik di Qatar dan kami membaikinya sedikit dalam setiap aspek, seperti brek enjin dan elektronik di Argentina dan Texas,” kata Marquez.

“Bagaimanapun, masih ada banyak kerja perlu dilakukan dan ruang untuk meningkat. Lagipun trek di Eropah berbeza kerana lebih sempit dengan permukaan batu tar yang berlainan jadi kami perlu tunggu dan lihat bagaimana kami boleh menangani situasi ini.

“Sudah tentu saya seronok kembali ke Sepanyol selepas tiga perlumbaan di luar negara. Berlumba di depan penyokong negara sendiri dan kelab penyokong saya sering kali menyeronokkan dan mencetus perasaan istimewa serta motivasi tambahan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:23 AM