Marquez ungguli perlumbaan GP Jerman. FOTO Reuters
Marquez ungguli perlumbaan GP Jerman. FOTO Reuters
Agensi

PENUNGGANG Honda, Marc Marquez menjarakkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan Dunia apabila meraih kejayaan ketujuh MotoGP di Grand Prix Jerman, hari ini.

Pelumba Sepanyol berusia 26 tahun itu mendahului perlumbaan sejak awal hingga ke garis penamat di depan pelumba Yamaha, Maverick Vinales dan Cal Crutchlow (LCR-Honda).

Ia juga kejayaan juara dunia itu bagi kali ke-10 di litar Sachsenring dalam semua kelas.

Gaya Marquez tiba di garis penamat. FOTO Reuters
Gaya Marquez tiba di garis penamat. FOTO Reuters

Kemenangan itu membolehkannya memiliki jurang selesa kelebihan 58 mata (185 keseluruhan) selepas sembilan daripada 19 perlumbaan musim ini.

Pencabar terdekatnya dari Ducati, Andrea Dovizioso menamatkan saingan di tempat kelima, mengumpul 127 mata.

Penguasaan Marquez di litar timur Jerman itu bermula sejak 2010 ketika bersaing dalam kategori 125cc (kini Moto3).

Dia kemudian menang Moto2 pada 2011 dan 2012 dan kali ketujuh dalam kategori utama MotoGP pada perlumbaan hari ini.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang menunggang KTM menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.

Dalam saingan Moto2, ia dimenangi oleh pelumba Honda yang juga adik Marc iaitu Alex Marquez yang membolehkannya melonjak ke tangga teratas kedudukan kejuaraan.

Pelumba Itali, Lorenzo Dalla Porta menang perlumbaan Moto3 bersama jentera Honda di depan pelumba Sepanyol, Marcos Ramirez dan Aron Canet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:21 PM