Jurulatih Pasukan TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan. FOTO Imran Makhzan.
Jurulatih Pasukan TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan. FOTO Imran Makhzan.
Malik Muhamad


JURULATIH Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan masih belum mampu menarik nafas lega melihat persembahan pasukannya biarpun berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 menundukkan Negeri Sembilan malam tadi.

Bagi jurulatih itu, anak buahnya masih mengulangi 'penyakit' lama iaitu hilang punca dan cepat berpuas hati selepas mendahului lawan walaupun masa perlawanan masih panjang.

"Corak permainan mereka agak kaku, pemain tidak beraksi seperti biasa sebagai mana yang kita harapkan dan rancang sebelum permainan.

"Saya lihat penyakit sama terus berulang, apabila kita mendahului lawan kita hilang punca sebagai mana ketika beraksi menentang PDRM tempoh hari.

"Malah, saya lihat semua bahagian tidak begitu tersusun cuma daripada segi prinsip bertahan saya puas hati," kata Tengku Hazman yang tetap menghamburkan pujian kepada anak buahnya selepas usaha keras mereka mempertahankan jaringan awal itu.

Pada perlawanan itu, bekas penyerang skuad Hobin Jang Hobin, Bruno Suzuki muncul wira skuad The Turtles selepas jaringannya pada minit pertama perlawanan membolehkan pasukannya mencatat kemenangan.

Mengulas mengenai prestasi tidak konsisten penyerang utamanya, Akanni Sunday Wasiu yang banyak melepaskan peluang terbaik untuk menjaringkan gol, Tengku Hazman tidak menafikan perkara itu.

"Bukan sahaja perlawanan malam ini (malam tadi) dia gagal menghasilkan gol, tetapi saya lihat pemain itu (Wasiu) sudah banyak perlawanan gagal meledak gol biarpun mempunyai peluang terbuka menjaringkan gol.

"Mungkin sentuhan gol dia belum dapat lagi tetapi untuk pusingan kedua nanti jika pemain itu gagal menonjol sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada kita,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 1:29 PM